Tiada perubahan dalam RUU PSB?

Tiada perubahan dalam RUU PSB?

PERLU ada penglibatan pemilik, komuniti dalam pembangunan semula. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan dibentangkan semula bulan hadapan dikhuatiri tidak mengandungi perubahan besar terutama da­lam melindungi kepentingan orang ramai.

Berdasarkan kepada draf pindaan yang dilihat oleh sebuah portal berita, dipercayai tidak ada klausa yang jelas mengenai penglibatan komuniti dalam menentukan pembangunan semula sesebuah kawasan.

Ini menimbulkan persoalan sama ada wajar jawatankuasa eksekutif Persekutuan dan ne­geri membenarkan pemaju me­rangka pelan semula tanpa penglibatan komuniti daripada peringkat awal.

Tindakan itu dilihat boleh menjejaskan hak asasi pemilik sekiranya mereka tidak diberi peluang menilai pilihan teknikal dan ekonomi bersama pakar bebas.

Penasihat dasar awam kepada Barisan Bertindak Pen­duduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari (KLRA+SD), Peter Leong dan JS Han, dalam surat kepada pengarang sebuah portal berita berkata, kerajaan masih belum mengemukakan rangka kerja berperingkat yang mudah difahami masyarakat.

Katanya situasi berkenaan boleh menekankan rakyat tiada kecenderungan semula jadi untuk mendalami bahasa perundangan dan birokrasi kompleks yang terkandung dalam RUU tersebut.

“Perlu ada penilaian semu­la sama ada wajar bagi jawatankuasa eksekutif membenarkan pemaju merangka pelan pembangunan semula. Hak pemilik boleh terjejas sekiranya pemaju tidak berbincang terlebih dahulu,” katanya.

KLRA+SD turut merangka versi proses pembaharuan ban­­dar yang adil berdasarkan dapatan daripada komuniti terkesan dan perbincangan ber­sama profesional industri serta pemaju berintegriti.

Antara prinsip utama ialah pembangunan semula tidak boleh diputuskan antara pihak berkuasa dan pemaju semata-mata. Komuniti perlu dilibatkan sejak awal melalui kajian kebolehlaksanaan, termasuk Pe­­ni­laian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA).

Proses mesti dimediasi kerajaan sepanjang masa dengan persetujuan dipastikan telus dan bebas daripada pengaruh pemaju. Akses kepada khidmat profesional seperti jurunilai dan perancang bandar boleh disokong melalui dana pusingan kementerian.

Kemelut PSB reda buat sementara, namun isu dijangka kembali hangat apabila RUU itu mungkin dibentangkan untuk bacaan kali kedua selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. Masyarakat dan NGO terus menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan RUU, terutama aspek perlindungan dan keadilan.

Tuntutan ini turut mendapat sokongan ahli politik pelbagai parti. UMNO, antara suara paling lantang, menekankan perlunya pendekatan berhati-hati.

Pada Konvensyen PSB 3 Oktober lalu, kenyataan terbuka parti itu dilihat menjadi faktor penangguhan sementara oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Draf terbaru bertarikh 30 Oktober menunjukkan kementerian belum membuat perubahan signifikan sebagai respons kepada maklum balas awam. Sesi libat urus diadakan, namun dianggap belum memadai. KLRA+SD mene­gaskan dialog pelbagai hala perlu melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan dasar pembangunan semula dibentuk secara inklusif dan adil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN