PlanMalaysia semak resolusi konvensyen PSB anjuran UMNO

PlanMalaysia semak resolusi konvensyen PSB anjuran UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) menyambut baik resolusi dibentangkan UMNO berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) dalam konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

PlanMalaysia dalam kenya­taan berkata, setiap resolusi yang dikemukakan dalam konvensyen itu termasuk cadangan penambahbaikan RUU PSB akan diteliti supaya seiring dengan prinsip perancangan bandar dan desa yang mampan, inklusif serta adil kepada semua pihak.

“Kami mengambil maklum, peningkatan pesat kadar urba­nisasi negara daripada 28.4 peratus pada tahun 1970 kepada 75.8 peratus pada 2024 telah mewujudkan cabaran besar terhadap keperluan pembaharuan semula kawasan bandar.

“Situasi ini menuntut pendekatan lebih komprehensif, terancang dan berorientasikan rakyat bagi mengelakkan pe­ngulangan isu seperti bangunan usang, tidak selamat diduduki, projek terbengkalai, konflik penduduk, pampasan yang tidak setara, serta pengabaian hak dan kepentingan penduduk asal,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, UMNO meminta kerajaan menggubal semula RUU PSB dengan mengambil kira pandangan pihak berkepen­tingan sebelum dibentangkan di Parlimen.

Perkara itu antara yang diputuskan dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kelmarin.

PlanMalaysia turut berpandangan sebarang pelan pembaharuan semula bandar perlu mengambil kira keunikan setiap kawasan termasuk ciri penempatan, demografi penduduk, adat resam dan kepentingan awam.

“Input dan resolusi yang dicetuskan dalam konvensyen ini akan dijadikan bahan rujukan penting dalam proses penggu­balan dasar serta perwujudan rangka kerja perundangan baharu yang lebih efektif,” katanya.

PlanMalaysia berkata, inisiatif pembaharuan semula ban­dar tidak boleh hanya didorong oleh keuntungan pihak tertentu, sebaliknya harus berteraskan kesejahteraan rakyat serta ke­seimbangan antara kepentingan pemilik tanah, komuniti setempat dan pembangunan negara.

PlanMalaysia menyatakan, pihaknya akan terus mengutamakan proses libat urus de­ngan semua pihak berkepenti­ngan bagi memastikan RUU PSB yang digubal adalah menyeluruh, adil dan berkesan.

“Kolaborasi erat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju, masyarakat awam, institusi akademik serta parti politik adalah kunci kepada pembangunan bandar yang le­bih teratur dan mampan. Dalam konteks ini, konvensyen PSB menjadi wadah penting untuk merumuskan penyelesai­an praktikal demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN