Tiada penutupan SRAR Integrasi KAFA di Perak - Utusan Malaysia

Tiada penutupan SRAR Integrasi KAFA di Perak

SAARANI Mohamad pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Integrasi KAFA di Perak yang ditutup operasinya sepanjang tempoh 2020 hingga 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 16 buah sekolah di lima daerah terpaksa ditangguhkan operasi berikutan jumlah murid yang sedikit.

Katanya, kesemua sekolah yang telah ditangguhkan operasinya itu adalah sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 30 orang murid.

“Berdasarkan nisbah guru KAFA terhadap jumlah murid yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah seorang guru bagi nisbah 30 orang murid.

“Selain itu, Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 juga turut menetapkan jumlah murid yang perlu ada bagi sesebuah sekolah itu boleh beroperasi adalah tidak kurang daripada 20 orang murid.

“Semua sekolah yang ditangguhkan operasi itu adalah sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 30 orang murid,” katanya ketika menjawab soalan lisan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Bagi daerah Larut, Matang dan Selama, lima sekolah yang ditangguhkan operasi ialah SRAR Al Irshadiah Diniah, SRAR Akhlaqiah, SRAR Muhammadiah, SRAR Nurul Hidayah dan SRAR Darul Ulum manakala dua sekolah di daerah Hilir Perak iaitu SRAR Saadah dan SRAR As Sibyan selain sebuah sekolah di daerah Kerian iaitu SRAR Al Falah.

Di Perak Tengah, dua sekolah terlibat iaitu SRAR Matlubiah dan SRAR Aliyah manakala daerah Kuala Kangsar pula membabitkan enam sekolah iaitu SRAR Al Ijtihadiah, SRAR Nurul Ittihadiah, SRAR Al Ikhlasiah, SRAR Burhanul, SRAR Ehsaniah, SRAR Osmaniah.

Menurut Saarani, susulan penangguhan operasi itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah melaksanakan penggabungan sekolah yang mengalami kekurangan murid bagi memastikan kelancaran kelas KAFA dan kebajikan murid tidak terjejas.

Katanya, bagi menangani masalah kekurangan guru di SRAR KAFA, mulai tahun 2025 pihak JAKIM telah menambah kuota guru KAFA sebanyak 100 orang untuk negeri Perak.

Dengan pertambahan itu katanya, jumlah keseluruhan guru KAFA di negeri Perak meningkat kepada 3,310 orang.

“Bagaimanapun, kekurangan guru masih berlaku disebabkan status jawatan guru KAFA adalah berstatus sambilan.

“Guru-guru yang mendapat jawatan yang lebih baik telah meletakkan jawatan sebagai guru KAFA dan menjadi antara penyumbang kepada kekurangan guru di sekolah-sekolah KAFA,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN