KUALA LUMPUR: “Itu semua tak betul.”
Demikian respons pelakon, Liza Abdullah mengenai desas desus kononnya dia sedang mengenal hati budi seorang lelaki.
Menurut Liza, selepas bercerai pada 2014, dia tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki apatah lagi merancang untuk sekali lagi bergelar isteri.
“Tiada lelaki yang cuba mendekati saya atau mahu berkenalan. Boleh semak mesej media sosial saya. Memang tak ada. Saya ini sudah berusia,” katanya yang ditemui media sempena majlis sidang media drama Sumpah Ibuku baru-baru ini.
Liza menjawab mengenai khabar angin kononnya
dia sedang mengenal hati budi seorang lelaki yang dikenalinya di set penggambaran sebuah drama awal tahun ini.
Pemilik nama sebenar Norliza Abdullah ini dalam masa yang sama memaklumkan dia menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah S.W.T.
“Ada atau tidak jodoh itu biarlah Allah yang tentukan.
“Dan kalau pun saya ditakdirkan berkahwin lagi, biarlah yang menjadi suami saya itu seorang yang mempunyai kefahaman agama dan beriman,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, Liza juga memaklumkan tidak gemar mencanang hal peribadinya kepada umum.
“Inilah saya, sejak dulu memang tidak suka bercerita hal peribadi. Tengoklah media sosial saya. Memang jarang saya berkongsi mengenai keluarga.
“Kisah peribadi ini lebih baik kita simpan. Saya belajar daripada pengalaman. Masa bergelar isteri dikatakan bercerai. Selepas bercerai orang ingat saya berkahwin lain pula.
“Jadi rasanya tak perlulah saya jawab kalau ditanya mengenai hal peribadi. Saya ini ada keluarga dan anak-anak yang perlu dijaga,” kongsinya.
Liza mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Zolkifli Abdul Rahman pada 1988 namun keduanya bercerai pada 2014. Mereka dikurniakan empat cahaya mata.- UTUSAN










