Tiada istilah tidak relevan dalam dunia lakonan - Nam Ron - Utusan Malaysia

Tiada istilah tidak relevan dalam dunia lakonan – Nam Ron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Nam Ron, percaya  kerjaya sebagai pelakon akan selalu relevan walaupun seseorang itu sudah meningkat usia.

Nam Ron atau Shahili Abdan, 55, berkata dunia lakonan akan selalu mempunyai ruang untuk karakter di semua peringkat umur, bergantung kepada keperluan sesebuah naskhah.

“Ramai ingat jadi pelakon ni macam buat kerja lain. Bila sudah berumur, sudah tak relevan lagi.

“Ini saya nak beritahu, kerjaya pelakon merentasi usia,” tulisnya.

Nam Ron berkongsi hantaran itu dipercayai bagi menempelak seorang individu yang mempertikaikan kerelevenanya sebagai pelakon senior dalam industri seni tanah air.

Pengarah Terbaik, Anugerah Filem Asia Pasifik 2019 itu menegaskan bahawa setiap watak memerlukan pelakon dengan latar usia yang sesuai bagi menampilkan hasil yang realistik.

“Takkan watak bayi atau budak umur setahun nak dilakonkan oleh hero remaja berumur 21 tahun, atau watak nenek berusia 75 tahun nak dilakonkan oleh pelakon wanita berusia 18 tahun,” katanya lagi.

Tambahnya, apa yang penting bagi seorang pelakon ialah keikhlasan dan kejujuran dalam berkarya, bukan usia atau populariti semata-mata.

“Tak ada istilah tak relevan dalam dunia lakonan. Setiap usia akan ada watak yang sesuai,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelakon filem One Two Jaga itu turut berpesan agar setiap insan, khususnya dalam industri hiburan, sentiasa menjaga hati dan mengingati Tuhan agar tidak mudah terpengaruh dengan komen negatif.

“Hati kena bersih, sentiasa ingat (zikir) pada Allah. Insha-Allah hati akan tenang dan nak komen yang boleh menyakitkan hati orang pun takkan mampu,” ujarnya menutup hantaran tersebut.

Kenyataan Nam Ron itu menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat dan rakan industri yang rata-rata bersetuju dengan pandangannya bahawa seni lakonan adalah satu bidang yang tidak pernah mengenal batas usia.

“Penat nak jelaskan kepada yang tidak berilmu,” sambut pelakon, Riezman Khuzaimi.

“Hebat kata-kata pelakon kesukaan saya,” tulis seorang peminat.

“Pelakon macam ‘universiti’, makin lama, makin hebat dan banyak ilmu. Lebih ranum mutu lakonannya,” tulis komen yang lain. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN