BUKIT MERTAJAM : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menafikan berlakunya sebarang eksploitasi terhadap pekerja di negara ini sama ada melibatkan warga tempatan atau warga asing.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, dalam hal ini, Malaysia kekal tegas dalam penguatkuasaan undang-undang perburuhan serta komited untuk memastikan semua pekerja dilindungi sepenuhnya.
“Kita (Malaysia) sangat tegas dalam isu ini terutamanya berkaitan aspek undang-undang perburuhan dan kita sentiasa berusaha memastikan eksploitasi pekerja itu tidak berlaku sama ada melibatkan pekerja tempatan atau pekerja asing.
“Selain itu, kita sentiasa memberi perhatian serius terhadap semua perkara yang berkait dengan kebajikan pekerja seperti berkaitan aduan, pematuhan undang-undang, pembayaran gaji dan sebagainya,” kata beliau.
Steven berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan pakar hak asasi manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung dakwaan eksploitasi berterusan serta peningkatan amalan ikatan hutang yang menjejaskan pekerja migran Bangladesh di negara ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa meninjau Festival Mega iLINDUNGu di tapak Evoke di sini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mengulas mengenai isu penahanan pasport pekerja pula, beliau menyifatkannya perkara tersebut sebagai masalah lama yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Berhubung isu pasport, ia isu lama dan kita cukup tegas dalam hal ini. Isu ini sebenarnya melibatkan Imigresen, tetapi, saya yakin rakan-rakan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga berkongsi pendirian sama dengan Kesuma iaitu kita tidak akan berkompromi,” ujarnya.-UTUSAN










