Terperangkap di rumah sendiri

Terperangkap di rumah sendiri

DI sebalik bergelut untuk menyara kehidupan seharian, rata-rata mereka yang uzur terpaksa menanggung penderitaan dengan tidak mendapatkan rawatan lanjut, khususnya beban kos pengangkutan sehingga mengabaikan kesihatan.-MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos ambulans yang mencecah sehingga RM600, ditambah kesukaran pesakit terlantar untuk bergerak mendapatkan rawatan merupakan antara masalah yang membelenggu penduduk flat khususnya Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Di sebalik bergelut untuk menyara kehidupan seharian, rata-rata mereka yang uzur terpaksa menanggung penderitaan dengan tidak mendapatkan rawatan lanjut, khususnya beban kos pengangkutan sehingga mengabaikan kesihatan.

Kos pengangkutan ke hospital khususnya melalui perkhidmatan ambulans swasta menjadi beban tambahan, lebih-lebih lagi apabila keadaan kesihatan pesakit yang tidak membolehkan mereka bergerak sendiri. 

Ia belum mengambil kira kerosakan lif yang sering berlaku di PPR, sekali gus menjadi mimpi buruk kepada penduduk khususnya pesakit terlantar.

Pesara swasta, Muhd. Nasir Daud, 86, merupakan salah seorang contoh warga emas yang terlantar di atas katil akibat serangan strok dan penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu.

Menurut isterinya, Rosadah Ghani, 72, masalah pengangkutan menjadi penghalang utama untuk mendapatkan rawatan kerana pergerakan suaminya terbatas dan kos yang diperlukan untuk menyewa ambulans pula terlalu tinggi.

Rosadah berkata, keadaan dirinya yang turut uzur serta tidak mampu menanggung kos pengangkutan menyebabkan Muhd. Nasir sudah lebih dua tahun tidak dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala.

“Kalau hendak bawa suami ke hospital, saya kena sewa ambulans. Hendak pergi pun sudah RM150, kalau ulang alik jadi RM300. Kos itu tinggi sedangkan kami hanya menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM600 sebulan.

“Duit itu saya guna untuk beli ubat, lampin pakai buang dan barangan keperluan asas. Kami hidup berdua. Anak-anak semuanya ada kehidupan masing-masing. Memang bergantung sepenuhnya pada bantuan ini. Kalau ikutkan memang tidak cukup. Tapi kami tiada pilihan lain,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang di sini.

Sewaktu ditemui, Rosadah yang juga mengalami masalah kesihatan dilihat terpaksa berpaut pada dinding ketika berjalan.

“Dulu saya masih kuat, boleh angkat suami. Sekarang saya sendiripun sudah tidak larat, ingatan pun kadang-kadang lemah. Kalau hendak urus dia, saya buat perlahan-lahan. Saya memasak pun sambil duduk. Saya buat sekadar termampu sahaja,” luahnya.

Katanya, sejak tidak mampu membawa suaminya ke hospital, hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang untuk membuat pemeriksaan asas seperti tekanan darah dan paras gula, namun rawatan menyeluruh sudah lama tidak dilakukan.

“Katil hospital yang suami saya guna sekarang pun NGO yang bagi. Kalau ikutkan keadaan dia, memang perlu pemeriksaan doktor pakar, tapi hendak pergi hospital itu yang susah,” katanya.

DILEMA SAKIT TENGAH MALAM

Keadaan sama turut dialami oleh Rosli Kamarudin yang menjaga isterinya, Salina Abu Samah, 59, selepas wanita itu diserang strok separuh badan hampir sedekadlalu.

Strok pada tangan dan kaki sebelah kiri berpunca daripada komplikasi darah tinggi serta kencing manis menyebabkan pergerakan isterinya terbatas dan perlu bergantung sepenuhnya kepada suami untuk menguruskan kehidupan seharian.

Rosli berkata, setiap kali perlu membawa isterinya ke hospital, dia menggunakan perkhidmatan e-hailing kerana tidak mempunyai kenderaan, setelah menjual kereta bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

“Kalau sakit tengah malam, memang saya buntu. Siapa yang hendak bawa ke hospital? Saya pun ada masalah kesihatan, menghidap kanser usus tahap dua. Hendak papah isteri dari katil ke kerusi roda, masuk ke dalam kereta, semuanya saya kena buat sendiri. Kadang-kadang anak terpaksa ambil cuti untuk bantu,” katanya.

Katanya, mereka tidak menerima sebarang bentuk bantuan kewangan walaupun permohonan sudah dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya hanya dapat kad orang kurang upaya (OKU) untuk isteri. Bantuan lain tidak ada. Kami hanya bergantung pada pencen ilat saya dan isteri, itu pun dipotong sehingga tinggal RM550 daripada sepatutnya RM1,300. Dengan kos bulanan lebih RM2,000, memang tak cukup walaupun sudah berjimat habis-habisan,” katanya.

Rosli berkata, keperluan isterinya menjadi keutamaan termasuk lampin pakai buang yang mencecah sekurang-kurangnya lima pek sebulan, kerana sekali setiap bulan Salina akan mengalami masalah pembuangan air besar berterusan.

Selain itu, Salina juga perlu mengambil tujuh jenis ubat setiap hari serta menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

“Semua perbelanjaan ini saya tanggung sebaik mungkin. Anak-anak ada membantu sikit-sikit, seorang masih belajar, dua orang lagi sudah bekerja tetapi mereka juga ada komitmen sendiri. Kalau ikutkan memang terbeban, tapi nak buat macam mana, inilah tanggungjawab saya,” kongsinya.

Rosli yang tidur beralaskan tilam nipis di lantai bersebelahan katil isterinya berkata, dia perlu sentiasa memantau keadaan Salina kerana bimbang tekanan darah isterinya naik tiba-tiba terutama pada waktu malam.

Bagi Rosli, selagi hayat dikandung badan, dia tidak akan berhenti berbakti kepada Salina, meskipun kesusahan hidup semakin menghimpit manakala kudratnya sendiri kian terbatas.

TIDAK MAMPU SEWA AMBULANS

Seorang lagi penduduk rumah kos rendah, Mohd. Kamal Ishak, 54, mengakui, tiada akses pengangkutan menjadi penghalang mendapatkan rawatan setelah serangan strok mengubah kehidupannya sehingga menyebabkan lumpuh separuh badan.

Sejak terlantar, kehidupan Mohd. Kamal bergantung sepenuhnya pada isteri, Zuhaina Ahmad Zubel, 50, yang setia menguruskan segala urusan harian dan rawatan perubatannya.

Zuhaina berkata, keadaan suaminya menyukarkan perjalanan ke hospital sehingga memerlukan perkhidmatan ambulans untuk memudahkan proses mendapatkan rawatan, mahupun pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Lebih mencabar, Mohd. Kamal perlu menjalani fisioterapi di rumah sebanyak tiga kali seminggu bagi mengelakkan komplikasi, lantas menelan kos rawatan yang tinggi.

“Abang (Mohd. Kamal) tidak boleh bergerak. Jadi, kami terpaksa sewa ambulans hospital swasta sebab abang tidak boleh naik kereta. Satu perjalanan ambulans menelan kos kira-kira RM400. Dalam sebulan, kos ambulans sahaja boleh mencecah lebih RM1,000.

“Kami juga terpaksa panggil fisioterapi datang ke rumah. Setiap sesi kosnya RM150, seminggu kami perlu keluarkan RM450 untuk fisio sahaja. Walaupun kosnya mahal, itu satu-satunya cara untuk suami dapat rawatan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di Program Perumaham Rakyat (PPR) Lembah Subang 2.

Zuhaina berkata, mereka sekeluarga tidak menerima sebarang bentuk bantuan daripada mana-mana pihak dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada simpanan.

“Abang tidak boleh makan seperti orang normal dan hanya bergantung kepada susu khas bernilai RM130 satu tin yang bertahan hanya tiga hari. Dalam sebulan, kami perlu membelanjakan lebih RM1,000 untuk susu sahaja belum termasuk lampin pakai buang  dan rawatan lain. 

“Kami juga terpaksa pasang penyaman udara di rumah. Pesakit strok tidak boleh kepanasan kerana boleh menyebabkan sesak nafas. 

“Jika dianggarkan kos keseluruhan termasuk rawatan dan perbelanjaan keluarga boleh mencecah RM5,000 sebulan. Buat masa sekarang masih boleh guna duit simpanan. Lama kelamaan duit yang ada ini pun semakin susut,” luahnya.

Bagaimanapun nasib mereka mungkin terbela sekiranya pihak berkenaan mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang melancarkan ‘Ambulans Kita Selangor’ (AKS), iaitu inisiatif perkhidmatan mobiliti kesihatan secara percuma kepada penduduk di bawah pentadbiran lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 48 ambulans disediakan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta, bagi memastikan perkhidmatan dan akses kepada rawatan kecemasan lebih cepat dan mudah kepada golongan sasar.

Beliau berkata, pelaksanaan program sebagai sebahagian usaha intervensi kerajaan negeri mengatasi isu kelewatan ketibaan ambulans di lokasi kecemasan itu, dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan St John Ambulans Malaysia (SJAM) Selangor yang berperanan sebagai rakan pelaksana utama.

Sebagai permulaan, program AKS akan dilaksanakan di tiga daerah iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor melibatkan enam PBT serta 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula dari Ijok sehingga ke Sungai Pelek.

BIROKRASI JADI HALANGAN

Dalam pada itu, mangsa kemalangan jalan raya, Mohd. Idham Mohd. Radzee, 42, terlantar sejak hujung tahun lalu kerana mengalami darah beku di kepala, lima tulang rusuk dan bahu patah serta dagu koyak.

Akibat kecederaan itu, dia koma selama seminggu dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan selama sebulan sebelum dibenarkan pulang. 

Keadaan itu menyebabkan Mohd. Idham perlu menjalani pemeriksaan susulan di tiga hospital berbeza iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tuanku Jaafar dan Hospital Sungai Buloh.

“Pernah saya cuba mohon supaya semua rawatan dilakukan di satu hospital sahaja tetapi prosesnya rumit. Umpama kena ulang semula proses pemeriksaan dari awal,” katanya.

Mohd. Idham berkata, ketiadaan pengangkutan menyukarkan urusan rawatan dan setiap kali perlu ke hospital, isterinya terpaksa meminjam kereta mentua bagi memudahkan pergerakan mereka.

“Bayangkan, jarak hospital-hospital ini jauh antara satu sama lain. Kos pula tinggi sebab kena pergi tiga tempat berbeza. Kalau sebulan sekali memang terasa bebannya,” katanya.

Lebih merumitkan, Mohd. Idham tidak lagi mampu bekerja, malah sebelum ini dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya melakukan pekerjaan sambilan.

Kini, dia bergantung sepenuhnya kepada zakat sebanyak RM500 sebulan, selain menjual sabun mencuci pakaian menerusi platform dalam talian.

Mohd. Idham mengakui kehidupannya semakin mencabar kerana mempunyai anak-anak yang masih kecil dan berada di bawah tanggungannya.

“Saya ada 10 anak. Dua daripada mereka sudah bekerja, yang lain masih belajar dan bersekolah.

“Anak saya yang ada di rumah paling besar pun sembilan tahun. Anak-anak terpaksa berdikari, memasak nasi dan yang sulung itu kena jaga adik-adik ketika saya dan isteri keluar ke hospital.

“Isteri saya sendiri pun sakit dan perlukan rawatan. Dia juga lah yang jaga saya setiap hari. Kalau dia tak ada di rumah, anak-anaklah yang uruskan saya,” katanya.

Kos yang diperlukan untuk rawatan Mohd. Idham mencecah antara RM300 hingga RM400 sebulan tidak termasuk perbelanjaan bulanan keluarga. 

“Kalau hendak diikutkan, memang sangat terbeban tapi kami tiada pilihan. Saya hanya mampu usaha apa yang ada dan harap anak-anak terus kuat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN