Terlalu awal untuk Ewon letak jawatan - Utusan Malaysia

Terlalu awal untuk Ewon letak jawatan

ANWAR Ibrahim menyantuni para peniaga pada Jelajah Malaysia Digital (JMD) Sabah 2025 di Pasar Taman Semarak, Tawau, Sabah semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Keputusan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merupakan tindakan tergesa-gesa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang sepatutnya me­nunggu keputusan Kabinet terlebih dahulu sama ada akan merayu atau tidak keputusan Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu membabitkan pemberian khas se­banyak 40 peratus kepada Sabah.

Anwar berkata, meskipun berdepan tekanan, adalah terlalu awal untuk Ewon mengumumkan peletakan jawatannya iaitu pada malam Sabtu lalu memandangkan keputusan me­ngenai perkara itu hanya akan dimuktamadkan Jemaah Menteri hari ini.

“Beliau ada sampaikan maklumat, tetapi surat rasmi belum diterima. Saya faham mungkin beliau rasa terdesak dengan keadaan dan tekanan yang wujud, tetapi bagi saya ia terlalu awal untuk membuat keputusan sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital (JMD) Sabah 2025 di Pasar Taman Semarak di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ewon secara rasmi mengemukakan surat peletakan jawatannya semalam dan mula menghabiskan baki cutinya sebagai menteri.

Katanya, agenda ‘Sabah First’ sentiasa menjadi asas perjua­ngan UPKO seperti mana termaktub dalam perlembagaan parti.

Peletakan jawatan itu dipercayai berkait dengan pegangan kepada prinsip dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Per­sekutuan perlu membuat se­ma­kan dan berbincang bersa­ma Kerajaan Negeri Sabah ber­hubung pemberian khas se­banyak 40 peratus kepada ne­geri ini bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021 dalam masa 180 hari bermula 17 Oktober lalu.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid selepas membenarkan permohonan Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan berkenaan pemberian tahunan sebanyak RM125.6 juta kepada Sabah atas dakwaan te­lah melanggar hak hasil negeri di bawah MA63 untuk menerima semula 40 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN