PETALING JAYA: Keperluan tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur berada pada tahap membimbangkan berdasarkan unjuran semasa dan dijangka tidak mampu menampung permintaan, khususnya pada 10 tahun akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dengan kapasiti keluasan tapak perkuburan awam sedia ada, tapak perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya mampu menampung pengebumian jenazah orang Islam sehingga tahun 2029, dalam situasi biasa tanpa mengambil kira sekiranya berlaku kematian dalam jumlah yang besar.
“Dengan anggaran lebih 3,000 kematian berlaku setiap tahun, menjadikan tanah sedia ada dijangka tidak mampu menampung jumlah pengebumian jenazah pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Na’im, pada dasarnya pelaksanaan kubur bertingkat di tapak yang baharu lebih sesuai dilaksanakan daripada kubur sedia ada kerana ia melibatkan kos penggunaan tanah yang agak tinggi.
“Walaubagaimanapun, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) telah menggariskan beberapa model yang boleh digunakan untuk pelaksanaan kubur bertingkat.
“Model-model tersebut perlu diteliti kerana ia melibatkan kesesuaian tanah perkuburan sedia ada dan tidak boleh menggunakan satu model untuk semua tanah perkuburan.
“Antara model dicadangkan termasuk Model Tindan, Model Tambak, Model Keranda dan Model Gali Semula,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan kini sedang disiapkan berdasarkan kajian Jawi dan USM sebagai usaha mengatasi kekurangan tanah perkuburan di Kuala Lumpur. – UTUSAN










