Tadbir urus data lemah jejaskan keyakinan PMKS terhadap AI

Tadbir urus data lemah jejaskan keyakinan PMKS terhadap AI

KOREN Wines (kanan) bersama Alain Lye semasa sesi panel bertajuk Membina ekonomi masa hadapan: Menilai kesiapsiagaan dan penerimaan AI dalam kalangan PMKS Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tadbir urus data yang lemah dan ketiadaan dasar jelas berkaitan keselamatan maklumat adalah faktor terbesar yang mengekang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) secara lebih meluas, meskipun tahap kesedaran terhadap teknologi itu semakin meningkat.

Dapatan itu diperoleh melalui tinjauan Xero Asia melibatkan 1,033 PMKS di Malaysia yang mendapati 68 peratus responden mahu kerajaan mewujudkan dasar perlindungan data dan rangka kerja tadbir urus AI yang lebih komprehensif bagi sektor perniagaan.

Tinjauan bersama Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) itu juga menunjukkan 81 peratus PMKS telah menggunakan AI, namun kebanyakannya masih pada tahap asas seperti penjadualan tugasan dan penyediaan e-mel.

Pengarah Urusan Xero Asia, Koren Wines berkata, kebimbangan terhadap keselamatan data menjadi halangan paling ketara apabila 59 peratus PMKS tidak pasti ke mana data mereka dihantar, disimpan atau digunakan, manakala 30 peratus tidak mempunyai sebarang polisi tadbir urus data.

“Tanpa tadbir urus data yang kukuh, sukar untuk membina keyakinan. PMKS perlu tahu bagaimana data mereka diurus dan penyedia teknologi mesti memastikan aliran data adalah telus serta mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

“Ramai pemilik perniagaan kecil cenderung menggunakan aplikasi AI berskala kecil atau percuma walhal platform lebih besar biasanya memiliki pensijilan keselamatan antarabangsa seperti ISO 27001 dan SOC 2, sekali gus memberikan tahap perlindungan data yang lebih kukuh kepada pengguna.

Beliau berkata demikian pada sesi diskusi panel bertajuk Membina ekonomi masa hadapan: menilai kesiapsiagaan dan penerimaan AI dalam kalangan PMKS Malaysia.

Dalam konteks pembangunan ekosistem AI negara, Wines berkata, kerajaan, penyedia teknologi dan PMKS perlu bergerak serentak mewujudkan rangka kerja tadbir urus menyeluruh bagi memastikan penggunaan AI dilakukan secara bertanggungjawab.

“Malaysia tidak akan mampu memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital jika PMKS kekal ragu-ragu. AI masa hadapan perlu bersifat ringkas, intuitif dan terbina dalam ekosistem perniagaan yang mereka sudah gunakan,” tambahnya

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pendigitalan dan AI, Samenta, Alain Lye berkata, kekeliruan antara automasi dan AI turut menjejaskan tahap kefahaman, sekali gus memperlahankan penerapan teknologi berasaskan data dalam operasi harian.

“Ramai menyangka automasi adalah AI, sedangkan automasi hanyalah pemprograman asas. Salah faham ini menyebabkan ramai tidak melihat potensi sebenar AI untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.

Tambah beliau, isu tadbir urus tidak hanya berpunca daripada teknologi, namun berkait rapat dengan amalan keselamatan digital PMKS yang masih rendah, termasuk penggunaan kata laluan berkongsi, ketiadaan pengesahan dua faktor (2FA) dan akaun kakitangan lama yang tidak dinyahaktifkan.

“Usaha literasi AI perlu diperluaskan, bukan hanya tertumpu di kawasan bandar atau dalam kalangan pemain besar.

“Kita tidak mahu hanya 10 peratus PMKS menikmati manfaat AI. Pendidikan perlu sampai kepada 90 peratus lagi supaya jurang penggunaan tidak melebar,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×