NARATHIWAT (THAILAND): Bekas penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan FA pada 2019 yang merupakan suspek utama kejadian melepaskan tembakan ke arah seorang rakyat Malaysia sehingga maut di Sungai Golok, memiliki dua kerakyatan.
Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Charoen Khet, Mukim Sungai Golok pada pukul 6 petang semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua pucuk pistol separa automatik yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“Lelaki terbabit mempunyai dua kerakyatan dituduh secara bersama melakukan pembunuhan terancang, memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen, membawa senjata api di bandar, kampung, atau jalan awam tanpa lesen.
“Operasi itu dilakukan setelah polis memperoleh waran tangkap daripada Mahkamah Wilayah Narathiwat berkaitan pembunuhan terancang secara bersama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Prayong memberitahu, dua barang bukti yang dirampas melibatkan sepucuk pistol separa automatik 9mm, jenama Colt nombor pendaftaran ST1/5771, nombor siri 154001.
Katanya, sepucuk lagi pistol separa automatik 9mm, jenama Desert Eagle dengan nombor pendaftaran KT 5506646, dan nombor siri 42300270.
“Suspek dicekup mengikut waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat bertarikh 2 November 2025.
“Suspek dituduh melakukan jenayah kekerasan yang mana pada pukul 7 malam waktu tempatan Sabtu lalu telah menembak mati rakyat Malaysia dan polis masih memburu seorang lagi rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu,” ujarnya. – UTUSAN










