KUALA LUMPUR: Satu subjek baharu iaitu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) akan diperkenalkan di universiti yang memfokuskan kepada aspek pembentukan insan dan tasawwur Islam.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ia akan dikemukakan dalam masa terdekat supaya pelaksanaannya dapat dimulakan di peringkat universiti.
Katanya, penerapan nilai kemanusiaan serta pembinaan adab amat penting, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia moden.
“Subjek ini merupakan antara inisiatif bagi memperkukuh adab dan perwatakan pelajar, namun selama ini perkara tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Zambry berkata, subjek itu perlu diperkenalkan supaya kesinambungan dalam pendidikan pembentukan sahsiah dan adab dapat dihasilkan dari sekolah hingga ke universiti.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berharap agar kurikulum yang dirangka dapat dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat sekolah.
“Persoalannya ialah bagaimana kita mahu memastikan kesinambungan dalam membina akhlak dan adab itu dapat diterapkan melalui pendekatan pemahaman akal budi yang lebih menyeluruh,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zambry menggesa setiap universiti menubuhkan tabung wakaf sebagai langkah memastikan sumber kewangan yang mampan.
Zambry berkata, ia bagi mengurangkan kebergantungan universiti terhadap dana yang disalurkan oleh kerajaan. – UTUSAN










