KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terhadap agenda kerajaan bagi memastikan pembangunan, kestabilan dan kemajuan negeri terus diperkukuhkan
Presiden Star, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Sabah berhak mempunyai kerajaan yang mampu bekerjasama dan berfungsi dengan berkesan, terutamanya dalam memperjuangkan hak serta kedaulatan negeri.
Beliau berkata, pihaknya mengulangi komitmen teguh terhadap tuntutan hak 40 peratus hasil negeri Sabah.
“Memandangkan rundingan ini hanya boleh dilaksanakan antara kerajaan dengan kerajaan, adalah penting agar Sabah mempunyai suara yang kuat dan berprinsip dalam proses ini.
“Perjuangan ini sentiasa menjadi teras Star, dan kami bersedia menyokong sebarang usaha ikhlas serta berani untuk mendapatkan apa yang menjadi hak Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jeffrey, Star menerima keputusan pilihan raya dengan penuh hormat, sambil menyifatkan rakyat Sabah sudah bersuara.
“Proses demokrasi sekali lagi mencerminkan suara dan aspirasi rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, Star juga merakamkan penghargaan kepada semua penyokong di seluruh negeri, khususnya pengundi di Tambunan dan Bingkor yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada kepimpinan dan calon-calon parti itu.
“Keyakinan pengundi menguatkan lagi iltizam Star untuk terus berkhidmat kepada Sabah dengan integriti dan tujuan yang jelas,” katanya.
Semalam, Star berjaya mengekalkan dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Bingkor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Jeffrey berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Tambunan manakala Datuk Mohd Ishak Ayub di DUN Bingkor. – UTUSAN










