SPR sasar 70 peratus keluar mengundi PRN Sabah

SPR sasar 70 peratus keluar mengundi PRN Sabah

Ramlan (dua dari kanan) bersama beberapa pegawai SPR meninjau proses pembuangan undi awal di Dewan Serbaguna IPD Tawau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada 1.786 juta pemilih berdaftar keluar menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya optimis jumlah itu dicapai walaupun menyasarkan satu jumlah yang tinggi.

“Kita tidak ada buat jangkaan yang muktamad, tapi kita mengharapkan sekitar 70 peratus boleh turun. Itu satu angka tinggi tapi kami agak optimis. 

“Namun kita berharap supaya semua pengundi dapat turun lebih awal kerana keadaan cuaca tidak menentu,” katanya kepada ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

Mengulas persiapan menghadapi kemungkinan banjir, beliau berkata, SPR telah mempunyai SOP khusus dan akan merujuk jawatankuasa bencana peringkat daerah serta negeri bagi sebarang panduan.

“Insya-Allah kita telah bersedia dengan langkah-langkah perlu bagi memastikan proses pengundian akan dapat berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan apapun sekalipun,” ujarnya.

Bagi mengelakkan penyalahgunaan seperti pengambilan gambar kertas undi, beliau menjelaskan SPR menetapkan bahawa pengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat khas sebelum memangkah kertas undi.

“Kita tak mahu lagi berlaku kes yang mana gambar kertas undi diserahkan kepada pihak tertentu melalui media sosial,” jelasnya.

Setakat semalam, SPR menerima 472 aduan membabitkan kesalahan kecil seperti bahan kempen tidak dibenarkan dan ceramah tanpa permit dan sebanyak 86 pasukan penguatkuasa SPR telah digerakkan di seluruh Sabah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN