SPM tidak ditangguh walau banjir makin buruk - Utusan Malaysia

SPM tidak ditangguh walau banjir makin buruk

WONG Kah Woh beramah mesra dengan calon SPM di SMK Raja Chulan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan ditangguhkan walaupun keadaan banjir di lapan negeri semakin buruk.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melakukan persediaan rapi untuk memastikan pelajar yang terjejas banjir dapat menduduki peperiksaan tersebut.

“Setiap tahun kita mengalami banjir namun kita membuat persediaan yang secukupnya untuk memastikan pelaksanaan SPM dapat dijalankan dengan lancar.

“Kita sudah membuktikan kita mampu untuk memastikan anak-anak kita hadir ke peperiksaan SPM dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Kah Woh berkata, KPM yakin dengan SOP, pekeliling dan Ops Payung yang diaktifkan sekiranya berlaku bencana banjir dapat memastikan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar.

Menurutnya, calon ataupun keluarga calon yang terkesan banjir perlu menghubungi pihak sekolah ataupun Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Pihak sekolah dan JPN akan mengaturkan logistik yang sepatutnya dan yang sewajarnya kepada calon-calon untuk memastikan mereka dapat hadir ke sekolah ataupun pusat peperiksaan untuk mengambil peperiksaan SPM seperti yang dijadualkan,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN