KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan keputusan untuk membekukan kelulusan kuota baharu pekerja asing sebagai langkah utama mengurangkan kebergantungan sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan terhadap tenaga kerja luar negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Kiong berkata, pembekuan yang bermula sejak 18 Mac 2023 itu terus menjadi dasar teras bagi memastikan kadar penggajian pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara menjelang akhir 2025, selari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurutnya, hanya sektor dan subsektor yang dibenarkan sahaja boleh memohon kemasukan pekerja asing secara case by case sehingga 31 Disember 2025, bagi memastikan jumlah keseluruhan tenaga kerja luar negara berada dalam had ditetapkan sebelum dikurangkan lagi kepada 10 peratus menjelang 2030 di bawah RMK-13.
“Langkah ini telah menunjukkan hasil. Dalam tempoh Ogos 2024 hingga Ogos 2025, jumlah pekerja asing menurun sebanyak 1.5 peratus dalam sektor perladangan, 17 peratus dalam pembinaan dan 20 peratus dalam sektor pembuatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Jawapan itu diberikan kepada pertanyaan Fong Kui Lun (PH–Bukit Bintang) sejauh mana keberhasilan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Menurutnya, kerajaan juga menggiatkan usaha meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan melalui pengarusperdanaan program TVET, peluasan latihan semula pekerja menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), serta pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang melengkapi dasar gaji minimum dan PLWS.
Selain itu, kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 sebulan bagi menarik minat pekerja tempatan ke pekerjaan berintensif buruh yang sebelum ini banyak diisi pekerja asing.
“Reformasi gaji ini dijangka meningkatkan penyertaan rakyat tempatan dalam pekerjaan berupah rendah yang selama ini dimonopoli pekerja asing,” katanya. – UTUSAN










