PUTRAJAYA: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di seluruh negara pada pagi ini berjalan lancar biarpun ada beberapa negeri dan kawasan terjejas bencana banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, perkara itu telah disahkan menerusi kemas kini daripada semua 16 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) setakat 6 pagi ini.
Beliau berkata, setakat pagi ini, tiada calon SPM 2025 terjejas dan peperiksaan itu berjalan seperti yang dijadualkan.
“Tahun ini, kita ada seramai 413,372 calon meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
“Secara keseluruhan, seramai 358,817 calon daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan,” katanya ketika meninjau peperiksaan SPM 2025, di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) di sini, hari ini.
Menurut beliau, SPM 2025 ini turut disertai 8,051 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Sekolah Perantis Tentera.
Turut serta calon daripada sekolah menengah agama negeri pula berjumlah 6,676 orang, manakala sekolah swasta berdaftar dengan KPM menyumbang 13,836 calon.
“Turut menduduki peperiksaan adalah 23,741 calon persendirian, selain 2,251 calon dari sekolah menengah agama rakyat,” katanya
Katanya, pelaksanaan peperiksaan SPM kini kembali ke jadual asal pada November dan Disember, seperti sesi persekolahan sebelum pandemik Covid-19.
Mohd Azam berkata, dengan kembalinya SPM kepada jadual asal, ia pastinya membawa cabaran tersendiri kerana berhadapan risiko cuaca tidak menentu termasuk banjir. – UTUSAN









