Spesies kelawar jarang ditemui direkod di Borneo selepas 152 tahun

Spesies kelawar jarang ditemui direkod di Borneo selepas 152 tahun

Pasukan penyelidik membuat penemuan spesies kelawar Northern Free-tailed (Mops johorensis) di Borneo, yang tidak pernah direkodkan di pulau itu sejak pertama kali ditemui pada tahun 1873.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Satu penemuan luar biasa direkodkan apabila spesies kelawar Northern Free-tailed (Mops johorensis) telah ditemui di Borneo.

Spesimen itu direkodkan di Imbak Canyon (Sabah) serta Lubok Antu dan Gunung Penrissen (Sarawak), sekali gus mewakili rekod pertama yang disahkan bagi spesies Mops johorensis di pulau ini.

Penemuan spesies yang tidak pernah direkodkan di Borneo itu sejak pertama kali ditemui pada tahun 1873 didedahkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi satu kenyataan bersama, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kenyataan itu, sebelum ini spesies kelawar tersebut hanya diketahui wujud di Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Thailand.

“Penemuan terbaharu ini bukan sahaja memperluas kawasan taburan spesies tersebut secara signifikan, malah menandakan satu pencapaian besar dalam memahami kepelbagaian fauna kelawar di pulau Borneo.

“Penemuan ini yang diterajui oleh penyelidik UNIMAS merupakan bukti kukuh kejayaan kerjasama rentas institusi dalam bidang sains biodiversiti,” katanya.

Sementara itu, UNIMAS turut menegaskan bahawa penemuan baharu dan hasil penyelidikan seperti kajian morfologi, genetik dan akustik terhadap Mops johorensis amat bernilai, yang menyumbang secara signifikan kepada pengetahuan baharu serta memperkukuh data dan maklumat sedia ada yang penting bagi perancangan pemuliharaan.

Kajian itu melibatkan pasukan penyelidik daripada UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Menurut Ketua Pasukan Penyelidik dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, Profesor Dr. Ts. Faisal Ali Anwarali Khan, kejayaan projek itu menonjolkan kepentingan membuka peluang kepada penyelidik yang berdedikasi, khususnya saintis dan universiti tempatan.

“Melalui kerjasama dan bukti yang dihasilkan, kita dapat bergerak ke hadapan.

“Adalah penting untuk membangunkan serta mengemas kini pendekatan pengurusan, undang-undang, rangka perundangan, protokol dan garis panduan dalam pengurusan hidupan liar serta perlindungan alam sekitar.

“Usaha ini juga menyokong inisiatif nasional dan global, sejajar dengan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang tahun 2050,” katanya.

Manakala, SFC menegaskan peranannya sebagai badan kawal selia utama, dengan Kontroler memberi kebenaran kepada aktiviti penyelidikan yang dijalankan secara bertanggungjawab di kawasan perlindungan.

“Pendekatan berstruktur ini membolehkan sains berimpak tinggi dijalankan tanpa menjejaskan warisan semula jadi Sarawak,” katanya.

SFC juga menyatakan kebimbangan serius terhadap kepekaan habitat di kawasan penemuan spesies tersebut.

“Sebagai penjaga kawasan perlindungan Sarawak, SFC perlu memastikan bahawa perhatian yang meningkat akibat penemuan ini, khususnya terhadap spesies baharu seperti Mops johorensis tidak membawa kepada gangguan habitat atau ancaman terhadap populasi kelawar tersebut.

“SFC kekal komited dalam mengimbangi keperluan penyelidikan dengan keutamaan pemuliharaan, memastikan semua akses dan pengumpulan data pada masa hadapan dilaksanakan di bawah protokol ketat bagi melindungi spesies serta ekosistemnya,” katanya.

Kedua-dua UNIMAS dan SFC turut menzahirkan harapan untuk mengembangkan dan memperkukuh kerjasama sedia ada bagi memastikan kelestarian dan kestabilan alam sekitar yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Melalui kerjasama berterusan, penyelidikan berimpak tinggi dapat terus menyumbang kepada dasar pengurusan berasaskan bukti, sekali gus mengukuhkan kedudukan Borneo sebagai antara kawasan biodiversiti terpenting di dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN