Spa songsang: 171 warga tempatan ditahan dibebaskan

Spa songsang: 171 warga tempatan ditahan dibebaskan

SEBAHAGIAN daripada 171 lelaki yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 171 lelaki warga tempatan juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut yang ditahan kelmarin selepas disyaki terbabit dalam aktiviti songsang, dibebaskan selepas polis gagal mendapat perintah reman terhadap mereka.

Bagaimanapun, 31 warga asing yang turut ditahan dalam serbuan sama direman selama dua hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Majistret menolak permohonan reman dikemukan pihaknya terhadap rakyat tempatan yang ditahan atas alasan ia lambat dikemukakan.

“Kami hanya dapat reman dua hari kepada warga asing sahaja. Setakat ini kami hanya minta mereka datang rehab dan diberi ceramah.

“Apa yang saya hendak tekankan, permohonan reman mereka ditolak dengan alasan lambat dikemukakan tetapi ia disebabkan tangkapan yang ramai dan proses perlu dibuat satu persatu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik sahaja kesemua mereka ditangkap, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan (kesalahan seks luar tabii, termasuk perbuatan liwat secara sukarela) dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan (kesalahan melibatkan pelacuran).

Bagaimanapun, katanya, siasatan tidak menemui sebarang bukti yang boleh membantu ke arah itu.

“Lepas itu kita tak boleh hendak siasat mereka ini daripada sudut undang-undang yang ada sekarang sebab setiap kali eksploitasi pelacuran ataupun luar tabi’i mesti ada mangsa.

“Tidak ada seorang pun daripada mereka yang ditahan mengaku menjadi mangsa. Jadi tiada kes (terhadap pengunjung ditahan),” katanya.

Kelmarin, seramai 202 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, di sini, ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang.

Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi mengejut sekitar jam 8 malam semalam membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Daripada kesemua ditahan seramai 171 merupakan rakyat tempatan manakala 31 lagi adalah warga asing.

Pengunjung warga tempatan yang ditahan, 17 daripadanya adalah penjawat awam membabitkan doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN