IPOH: Kerajaan negeri memperkenalkan skim bantuan sewa rumah dan bina rumah bagi mualaf Orang Asli yang berdepan kesukaran untuk terus tinggal bersama keluarga berlainan agama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang digerakkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu merupakan antara usaha bagi memastikan kebajikan dan akidah golongan tersebut sentiasa terjaga.
“Bagi mualaf yang tinggal bersama keluarga bukan Islam, pendekatan kaunseling dan sokongan emosi turut diberikan agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan akidah tanpa menjejaskan hubungan kekeluargaan.
“MAIPk juga menyediakan skim bantuan sewa rumah dan bina rumah sekiranya perlu atau sesuai dilaksanakan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini, semalam..
Terdahulu, Salina Samsudin (Behrang-BN) meminta kerajaan menjelaskan perancangan dan tindakan MAIPk dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terhadap masyarakat Orang Asli yang masih tinggal bersama keluarga bukan Islam selain bentuk kelas bimbingan dan program pengukuhan akidah untuk mereka.
Menurut Saarani, MAIPk dan JAIPk telah melaksanakan program dakwah berterusan secara inklusif dan berperingkat bagi mengelakkan konflik dalam keluarga berbeza agama.
Malah katanya, pelbagai kelas bimbingan dan program pengukuhan akidah dilaksanakan merangkumi ceramah agama, slot tazkirah dan motivasi, latihan dalam kumpulan bagi membina kefahaman Islam, praktikal solat serta amali ibadah harian dan kelas bimbingan mualaf.
“Selain itu, kelas pengajian secara berkala turut diadakan di pejabat agama daerah meliputi pengajaran asas fardu ain, pembacaan dan pemahaman al-Quran, pengukuhan akidah melalui kisah para nabi dan sahabat, perbincangan isu semasa berkaitan cabaran hidup sebagai mualaf serta aktiviti ziarah dan pemantauan,” katanya.
Tambah beliau, pegawai mubaligh Islam dan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) juga sentiasa membuat lawatan berkala ke rumah mualaf untuk memantau perkembangan akidah dan memberi nasihat secara peribadi.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), MAIPk dan JAIPk telah melantik 58 Pegawai Mubaligh Orang Asli (PMOA), selain 56 mubaligh Islam, 57 guru asas pengajian Islam mualaf dan 22 guru takmir Orang Asli,” katanya. – UTUSAN










