Tidak pernah lewat atau cetus masalah disiplin - Rosyam Nor urus kerjaya tanpa pengurus, pembantu peribadi - Utusan Malaysia

Tidak pernah lewat atau cetus masalah disiplin – Rosyam Nor urus kerjaya tanpa pengurus, pembantu peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Rosyam Nor, 59, memaklumkan beliau, sejak awal pembabitan dalam dunia drama dan perfileman, selesa menguruskan sendiri karier lakonannya.

Malah, selama hampir 40 tahun tahun bergelar aktor, Rosyam memaklumkan tidak pernah sekalipun beliau menggunakan khidmat pengurus atau pemandu serta pembantu peribadi untuk memudahkan perjalanan kerjaya seninya.

“Saya urus sendiri karier saya, susun sendiri jadual kerja dan sebagainya. Dan saya jugalah yang akan melayan kalau ada pengamal media yang mencari saya.

“Inilah saya selama hampir 40 tahun dalam dunia seni, terbiasa sejak dulu tanpa pemandu, pengurus atau pembantu. Dulu gaji pelakon ‘cukup-cukup makan’, tak mampu nak guna khidmat pembantu.

“Tapi saya tak pernah pandang rendah kepada artis yang ada pengurus atau pembantu. Cuma saya sahajalah yang tidak berubah, tidak dibantu sesiapa dalam soal uruskan kerjaya.

“Tapi sehingga sekarang ini, meskipun begitu, saya tak pernah lewat ke set penggambaran atau bermasalah daripada segi disiplin. Saya dari dulu memang menjaga komitmen kerja. Itu amalan orang lama,” kongsinya semasa tayangan perdana dan sidang media filem Banduan, semalam.

Rosyam bagaimanapun mengakui sudah mula memikirkan untuk menggunakan khidmat pemandu peribadi.

“Saya memang suka memandu sendiri ke mana sahaja saya pergi. Tapi isteri dan anak-anak pula risau kerana saya tak berteman kalau pulang lewat dari bekerja. Mereka risau saya memandu dalam keadaan mengantuk dan sebagainya.

“Jadi sekarang ini saya sedang pertimbangkan untuk mendapatkan pemandu peribadi,” kongsinya.

Mengulas tentang filem Banduan yang akan ditayangkan esok, Rosyam memaklumkan beliau gembira kerana diberi kepercayaan pengarah, Kroll Azry untuk melakukan babak aksi dan pertarungan dalam filem itu meskipun usianya kini mencecah 58 tahun.

“Saya minta pengarah wujudkan babak pertarungan antaranya untuk pencerahan bagi kecederaan tangan yang dialami watak saya dalam filem ini.

“Alhamdulillah pada usia saya sekarang, saya masih diberi kepercayaan melakukan babak aksi.

“Dan saya tak ada masalah melakukannya kerana saya ini seorang yang sangat menjaga fizikal. Saya tidak akan sesekali menolak.

“Cuma yang saya perlukan adalah pasukan yang bagus untuk membantu saya menyempurnakan babak tersebut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN