PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula esok hingga 8 Januari ini sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sepanjang lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan serta bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara kedua-dua negara.
Katanya, penubuhan mekanisme tersebut mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Türkiye untuk mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Lawatan rasmi itu turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum dan mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Türkiye serta diaspora Malaysia,” katanya ketika Taklimat Perdana Menteri hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, selain program rasmi di Ankara, lawatan ke Istanbul akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi menerusi sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, di samping pertemuan dengan media bagi menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia–Turkiye. – UTUSAN










