Saya nangis berkali-kali, perlu asingkan diri seketika di set - Zahirah Macwilson - Utusan Malaysia

Saya nangis berkali-kali, perlu asingkan diri seketika di set – Zahirah Macwilson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahirah Macwilson, mengakui naskhah drama Good Boys Go To Heaven yang sarat emosi menjadi pendorong utama dirinya kembali ke set selepas dua tahun ‘bercuti’ daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Menurut Zahirah atau Nur Zahirah MacWilson, 30, karakter Dahlia iaitu seorang ibu yang diuji dengan kehilangan membuatkan dirinya beberapa kali mengalirkan air mata.

“Kali pertama bertemu pengarah, Ariff Zulkarnain, saya terus tersentuh apabila diberitahu jalan cerita drama ini, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri kini seorang ibu.

“Saya nangis berkali-kali, bukan hanya ketika perjumpaan pertama, malah sepanjang sesi bacaan skrip pun saya tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Tambah Zahirah, watak sebagai ibu yang diuji dengan tragedi serba sedikit memberi tekanan emosi yang mendalam sehingga memaksanya mengambil masa bersendirian di set penggambaran.

“Saya agak terganggu dengan watak ini kerana ia terlalu dekat dengan jiwa seorang ibu. Sekarang bercakap tentang kehilangan anak pun sudah cukup membuatkan saya beremosi.

“Jadi saya banyak lakukan persiapan mental, dan ada masa-masanya saya perlu mengasingkan diri di set seketika untuk benar-benar masuk ke dalam karakter,” jelasnya.

Zahirah ditemui ketika sesi lawatan media ke set penggambaran Good Boys Go To Heaven di Institut Penyelidikan Getah Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, drama tersebut turut membuka peluang buat Zahirah untuk bekerjasama pertama kali dengan Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33, Beto Kusyairy.

“Dalam drama ini saya memegang watak sebagai isterinya. Ia satu pengalaman yang sangat menakjubkan kerana beliau antara pelakon terhebat di Malaysia.

“Proses bekerja jadi sangat mudah, dia memahami dan memberi ruang untuk kami berbincang tentang karakter. Kami cepat serasi, malah kadang-kadang tanpa dialog pun kami boleh ‘berkomunikasi’ dalam lakonan,” katanya.

Good Boys Go To Heaven terbitan Astro Originals mengangkat kisah seorang bapa, Yasser (lakonan Beto), yang cemas apabila anaknya, Ahyan, dilaporkan hilang di kawasan Kuala Makar. Lebih memilukan, Ahyan akhirnya ditemui mati dibunuh secara kejam, sekali gus menjadikan Yasser suspek utama.

Drama lapan episod yang dijadualkan tayang tahun hadapan itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Firdaus Karim, Amirul Affendi, Sky Iskandar dan Malek Maccrone. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN