KUALA LUMPUR: “Itu amanah dia, hasrat arwah untuk merealisasikan rancangan Deco Ibadah.”
Demikian perkongsian anak Allahyarham Dharma Harun Al-Rasyid, Muhammad Al Syafiq, 36, mengenai hasrat yang disimpan bapanya sebelum ini.
“Saya pun tak tahu macam mana nak buat. Tapi itulah amanah arwah, jadi saya akan cuba.
“Selain itu, arwah juga pernah menyimpan hasrat untuk mengerjakan haji, namun tidak kesampaian. Oleh itu saya akan cuba usahakan badal haji untuk arwah, Insya-Allah,” kongsinya.
Allahyarham Dharma meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju sekitar pukul 9 malam, semalam. Berita duka itu dikongsi Syafiq melalui hantaran di Instagram.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Syafiq dalam masa sama memaklumkan akan meneruskan legasi yang ditinggalkan arwah bapanya dalam dunia perfileman.
“Saya akan kekalkan nama Syafiq Darma. Kalau orang panggil berlakon, saya terima. Alhamdulillah, ada orang dah mula panggil saya.
“Saya pun masih belajar. Saya tak nak ‘matikan’ nama Dharma itu. saya akan kekalkan, supaya orang kenang arwah,” kongsinya lagi.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit gastrik, asma, selain masalah bengkak jantung, paru-paru dan tiroid.
Menurut Syafiq, kesihatan ayahnya sebelum meninggal dunia, merosot selain Allahyarham hilang selera makan sekaligus mengakibatkan berat badan badannya menurun dari 85 kilogram (kg) kepada 45 kg.
“Arwah sudah lama uzur, usianya pun sudah lanjut, saya dan kakak tahu keadaan dia macam mana.
“Dia sudah lama hilang selera makan, memang kesihatannya semakin merosot kerana terlalu uzur,” ujarnya.










