KUCHING: Kerajaan Sarawak menaikkan kadar bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) daripada RM800 kepada RM950 pada tahun depan, bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kadar baharu bantuan itu akan diagihkan setiap empat bulan sekali dengan setiap penerima isi rumah menerima RM316 bagi satu pembayaran.
“Tahun ini, SKAS telah dilaksanakan dengan jayanya, memberikan bantuan tahunan antara RM250 hingga RM800 kepada rakyat Sarawak yang layak, dengan peruntukan RM557 juta, memberi manfaat kepada lebih 1.03 juta penerima.
“Hari ini, saya mengumumkan bahawa Kerajaan GPS akan menaikkan kadar bantuan ini bagi mencerminkan keperluan rakyat serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup.
“Langkah ini bagi memastikan mereka sentiasa mempunyai makanan di atas meja,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata warga emas yang tiada pasangan atau anak dengan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah akan menerima kenaikan RM100, daripada RM400 kepada RM500 dan setiap pembayaran, penerima akan menerima RM166.
Manakala, katanya individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima peningkatan RM50, menjadikan jumlah bantuan meningkat daripada RM250 kepada RM300.
“Bagi setiap pembayaran, penerima akan menerima RM100,” katanya.
Dengan pertambahan kadar bantuan itu, beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan RM640 juta di bawah Belanjawan Negeri Sarawak 2026 dan menjangkakan lebih daripada satu juta penerima akan mendapat manfaat daripadanya.
“Inilah kerajaan GPS, mendengar, bertindak balas dan menyampaikan. Kita bukan sekadar mengurus bajet, kita sedang memperbaiki kehidupan rakyat.
“Marilah kita terus membina sebuah Sarawak di mana tiada siapa yang tersisih, dan setiap warganya merasai kepedulian sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat,” katanya. – UTUSAN









