Sabah diberi keutamaan, tangani cara berhemah isu 40 peratus - Utusan Malaysia

Sabah diberi keutamaan, tangani cara berhemah isu 40 peratus

SIVAMURUGAN PANDIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu berhubung pemulangan 40 peratus hasil Sabah dilihat sedang ditangani secara berhemah dan berfakta oleh kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan penyelesaian secara menyeluruh demi kepentingan rakyat di negeri tersebut.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, oleh demikian, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa membuat sebarang keputusan berikutan impaknya kelak hanya akan merugikan kedua-kedua belah pihak.

Katanya, langkah yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini dengan melihat jaminan Perlembagaan dan penyelesaian sebenar berhubung isu berkenaan.

“Penyelesaian sebenar perlu dilihat daripada segi mekanisme boleh digunapakai dalam aspek bayaran penuh, formula macam mana serta rundingan dan pelaksanaannya. Sudah pasti itu yang cuba dilakukan Perdana Menteri, cumanya kebetulan ia berlaku menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan ada pihak cuba menggunakan isu ini sebagai bahan politik.

“Pada saya apa yang lebih penting adalah untuk kita meneliti mekanisme yang boleh digunakapakai dalam penyelesaian isu berkenaa ,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, keputusan terhadap tuntutan hak 40 pe­ra­tus hasil Sabah akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, hari ini.

Anwar dilaporkan berkata, kerajaan akan mendengar terlebih dahulu pandangan Peguam
Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat sebarang keputusan.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, secara prinsipnya, kerajaan pimpinan Anwar sememangnya mengiktiraf perkara itu namun beranggapan ia harus dikaji bagi menentukan hasil bersih dan kaedah kiraan yang tepat.

“Saya beranggapan perkara ini wajar dilihat dalam konteks rasional dan waras, bukannya semata untuk hadapi PRN kerana yang penting di sini ialah kita harus menggunakan pendekatan politik serta perundangan.

“Bermaksud, bagaimana kita nak pastikan perundangan itu dihormati tapi dalam masa sama, nilai kebersamaan politik dipertingkatkan untuk membolehkan hubungan Sabah dan semenanjung tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berkata, pencerahan yang sistematik amat diperlukan bagi menggelakkan masyarakat berprasangka buruk terhadap kerajaan walaupun banyak usaha telah dilaksanakan demi kepentingan rakyat di Sabah.

AWANG AZMAN AWANG PAWI

Beliau berkata, kerajaan pada hari ini sememangnya dilihat sedang menyelesaikan isu tersebut secara berperingkat dan cermat namun pencerahan secara menyeluruh perlu diberikan bagi memberi gambaran penuh kepada masyarakat berhubung perkara tersebut.

“Garis masa indikasi kejayaan hasil rundingan tersebut juga perlu sentiasa ada, laporan perlu dipaparkan kepada umum supaya masyarakat awam dapat akses sekali gus tidak menimbulkan
prasangka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×