KUALA LUMPUR: Penangguhan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bagi memberi ruang kepada proses libat urus yang lebih menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sebelum RUU itu dibawa semula ke Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan setiap perincian dalam RUU berkenaan diperhalusi secara teliti oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Katanya, ia sekali gus mengelakkan kekeliruan atau salah tafsir berkaitan pelaksanaan RUU berkenaan kelak.
“RUU itu tidak dibatalkan, hanya ditangguhkan. Bacaan kedua tidak akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini dan akan dibawa pada sesi akan datang, Insya-Allah.
“Penangguhan ini adalah untuk memberi peluang kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengadakan libat dengan semua pihak berkepentingan bagi memperhalusi beberapa perkara serta memastikan kefahaman yang tepat,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Penjagaan Spiritual Tahun 2025 di sini, hari ini.
Mohd. Na’im berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan RUU itu melibatkan aspek pentadbiran agama Islam di Wilayah Persekutuan yang memerlukan persefahaman menyeluruh sebelum dimuktamadkan.
“Kita mahu semua pihak jelas terhadap kandungan RUU ini. Pendekatan libat urus ini penting untuk memantapkan pelaksanaan dan memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada institusi fatwa serta masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, perbahasan untuk meluluskan RUU berkenaan ditangguhkan buat kali keempat sejak RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.
RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tatacara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung dengan hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat. – UTUSAN







