KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan kegiatan pengedaran rokok seludup bernilai lebih RM1.6 juta yang dipercayai disasarkan kepada warga asing di sekitar daerah ini.
Operasi hasil risikan dan maklumat awam itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan di sebuah premis kediaman di Indera Mahkota 21, di sini pada 2 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu menemukan 1,586,660 batang rokok putih pelbagai jenis dan jenama yang disimpan di premis tidak berpenghuni.
“Premis itu kosong, namun kesan yang ditemukan menunjukkan ia pernah didiami lebih daripada seorang penghuni. Kita percaya ia dijadikan stor simpanan oleh sindiket penyeludupan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma JKDM Kuantan.
Mohd. Asri berkata, nilai rampasan dianggarkan RM262,000 manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat melebihi RM1.3 juta.
“Secara keseluruhan jumlah rampasan serta duti dan cukai bagi kes ini bernilai RM1.62 juta. Bekalan rokok ini dipercayai untuk pasaran warga asing di Kuantan dan kawasan sekitar. Tidak mustahil warga tempatan turut menjadi sasaran,” katanya.
Kes disiasat mengikut Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










