PETALING JAYA: Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan rekod RM386.4 bilion pada harga malar pada 2025 berbanding RM352.6 bilion pada 2024, disokong oleh momentum pelaburan yang berterusan dan aktiviti ekonomi yang kekal berdaya tahan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, PMTK meningkat 9.6 peratus, selepas mencatatkan peningkatan 12.1 peratus pada 2024, disokong oleh pertumbuhan dalam hampir kesemua aktiviti ekonomi kecuali perlombongan dan pengkuarian.
“PMTK bagi aktiviti perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 11.3 peratus, disumbangkan terutamanya oleh kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (9.6 peratus) serta pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi (13.7 peratus).
“Pada masa yang sama, aktiviti pembuatan menyederhana kepada 8.8 peratus diterajui oleh subaktiviti produk elektrik, elektronik dan optikal dan peralatan pengangkutan (9.7 peratus) dan diikuti oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (9.1 peratus).
“Bagi aktiviti pertanian, PMTK meningkat 3.5 peratus disokong oleh peningkatan pelaburan dalam ternakan dan perikanan serta pertanian lain manakala aktiviti pembinaan bertumbuh 4.2 peratus.
“Sementara itu, PMTK dalam aktiviti perlombongan dan pengkuarian menyusut sebanyak 1.7 peratus berbanding pertumbuhan 2.9 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi PMTK mengikut jenis aset, struktur terus menjadi penyumbang terbesar dengan komposisi 52.3 peratus yang bertumbuh sebanyak 11.1 peratus pada 2025.
“Di samping itu, peralatan ICT dan lain-lain jentera dan peralatan mengekalkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.2 peratus diikuti produk harta intelek (3.2 peratus).
“Sektor swasta terus menjadi penyumbang utama dengan sumbangan 77.3 peratus, manakala sektor Awam menyumbang 22.7 peratus.
“Kedua-dua sektor merekodkan peningkatan pada 2025 dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 9.4 peratus dan 10.3 peratus,” ujarnya.
DOSM berkata, aktiviti perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama kepada kedua-dua PMTK sektor swasta dan awam.
“Sumbangan aktiviti perkhidmatan bagi sektor swasta adalah 66.7 peratus, manakala sumbangan aktiviti Pembuatan adalah 22.5 peratus.
“Aktiviti-aktiviti lain menyumbang 10.8 peratus daripada jumlah keseluruhan PMTK swasta.
“Pada masa yang sama, aktiviti Perkhidmatan bagi sektor Awam merekodkan sumbangan 80.6 peratus, diikuti oleh pembuatan (9.5 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (9.1 peratus),” katanya. – UTUSAN









