Indeks harga pengeluar Malaysia naik 9.2 peratus pada Jun - Utusan Malaysia

Indeks harga pengeluar Malaysia naik 9.2 peratus pada Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia merekodkan peningkatan 9.2 peratus pada Jun 2026, berbanding 7.8 peratus pada bulan lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, sektor perlombongan merekodkan peningkatan 29.0 peratus berbanding 52.6 peratus pada Mei 2026, didorong oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (40.7 peratus).

Katanya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 9.1 peratus berbanding 8.9 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks perikanan (12.5 peratus) dan penanaman tanaman kekal (10.8 peratus).

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 7.2 peratus berbanding 3.5 peratus pada Mei 2026, terutamanya disumbangkan oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (30.1 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.3 peratus).

“Sementara itu, sektor bekalan air dan bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Pada asas bulan ke bulan, DOSM berkata, IHPR Pengeluaran Tempatan mencatatkan peningkatan marginal 0.6 peratus, selepas meningkat 1.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, sektor pembuatan meningkat 2.4 peratus (Mei 2026: 1.8 peratus), terutamanya disumbangkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (10.9 peratus).

“Sektor bekalan air pula meningkat 1.5 peratus. Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menurun 0.8 peratus (Mei 2026: 0.3 peratus), disebabkan penurunan indeks perikanan (-2.5 peratus).

“Sektor perlombongan menurun 11.6 peratus (Mei 2026: -2.8 peratus), dipengaruhi oleh penurunan indeks pengekstrakan petroleum mentah (-13.7 peratus) dan pengekstrakan gas asli (-0.3 peratus). Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas kekal tidak berubah pada bulan tersebut,” ujarnya.

DOSM berkata, semua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan pada Jun 2026 dengan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus meningkat 25.0 peratus (Mei 2026: 31.5 peratus), terutamanya disumbangkan oleh bahan bukan makanan (29.8 peratus).

“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 7.4 peratus (Mei 2026: 3.0 peratus), disokong oleh bahan api yang diproses dan pelincir (13.9 peratus).

“Sementara itu, indeks barang siap meningkat 2.0 peratus (Mei 2026: 1.7 peratus) disebabkan oleh peningkatan dalam indeks kelengkapan modal (2.0 peratus),” jelasnya.

DOSM berkata, perbandingan dengan beberapa ekonomi terpilih menunjukkan harga pengeluar kekal pada paras lebih tinggi pada Jun 2026, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh peningkatan kos tenaga serta permintaan yang berterusan terhadap produk berkaitan teknologi.

Dalam pada itu, DOSM berkata, harga minyak mentah global kekal tinggi pada AS$81.90 (RM) setong pada Jun 2026, walaupun mencatatkan penyederhanaan berbanding bulan sebelumnya berikutan kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan yang semakin reda.

“Namun begitu, harga minyak mentah masih berada pada paras yang tinggi berbanding Jun 2025, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat serta permintaan tenaga global yang stabil.

“Pada masa yang sama, sektor minyak sawit Malaysia terus menyokong harga pengeluar meskipun harga minyak sawit mentah (MSM) mencatatkan penyederhanaan pada bulan tersebut.

“Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan purata harga MSM turun perlahan kepada RM4,490.50 per tan pada Jun 2026 berbanding RM4,498.50 per tan pada Mei 2026, mencerminkan keadaan bekalan yang bertambah baik susulan peningkatan tahap pengeluaran,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, DOSM berkata, harga MSM kekal lebih tinggi berbanding Jun 2025, disokong oleh permintaan serantau yang berterusan serta penggunaan biodiesel.

“Harga getah asli juga kekal kukuh pada Jun 2026, disokong oleh keadaan bekalan yang lebih ketat di negara pengeluar utama akibat keadaan cuaca,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN