SEREMBAN: Port Dickson menjadi daerah paling teruk terjejas di negeri impak dilanda ribut tropika Senyar tengah malam tadi.
Angin kuat diikuti laut bergelora serta ombak tinggi yang melanda kawasan pantai yang kemudiannya membawa hujan lebat telah menyebabkan kerosakan di banyak kawasan daerah tersebut.
Di tengah laut, berlaku runtuhan struktur pelantar minyak yang menyebabkan lapan pekerja sebuah syarikat petroleum terkandas.
Bagaimanapun mereka berjaya diselematkan awal pagi tadi menerusi operasi bersama oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak syarikat.
Angin kencang dan ombak turut menolak beberapa buah tongkang tangki dan tongkang kontena menghampiri pantai.
Tidak terkecuali dilaporkan sebuah kawasan kelong memancing yang musnah sama sekali selepas dipukul ribut Senyar itu.
Di daratan pula banyak insiden pokok-pokok tumbang berlaku sehingga menghalang jalan.
Premis-premis perniagaan, gerai, dan rumah penduduk juga tidak terkecuali mengalami kerosakan dengan kebanyakannya melibatkan bahagian bumbung yang tercabut.
Tidak terkecuali sebuah sekolah menengah di sini yang difahamkan turut mengalami kerosakan di bahagian bumbung.
Selain itu, impak ribut yang membawa hujan lebat berterusan juga telah menyebabkan beberapa kawasan di Port Dickson mengalami banjir
Setakat ini, dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Port Dickson iaitu di Sekolah Kebangsaan Jimah Lama dan Balai Raya Kampung Permatang Pasir, Linggi
Kedua-dua PPS tersebut kini menempatkan seramai 148 orang mangsa yang terjejas banjir. – UTUSAN










