Operator kapal layar, bot persiaran di PD rugi akibat ribut Senyar

Operator kapal layar, bot persiaran di PD rugi akibat ribut Senyar

Keadaan PD World Marina ketika dilanda ribut Senyar baru-baru ini yang menyebabkan pontun dan kapal layar yang berlabuh mengalami kerosakkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Ribut tropika Senyar yang melanda daerah ini baru-baru ini turut menyebabkan seorang operator kapal layar dan bot persiaran mengalami kerugian mencecah hampir RM300,000.

Operator PD World Marina, Patrick Theseira, 56, berkata, kejadian bermula sekitar pukul 12 tengah malam apabila angin kuat melanda kawasan pantai sehingga menggegarkan keseluruhan struktur marina.

Menurutnya, angin kuat menyebabkan kapal layar yang berlabuh di situ bergerak sekali gus menarik pontun (jeti terapung) sebelum struktur itu pecah satu persatu seperti domino.

“Pontun ini laluan utama kapal untuk berlabuh. Bila ia pecah dan hanyut, operasi kami lumpuh serta-merta serta kerosakan ini tidak boleh dibaiki dan perlu diganti baharu.

“Angin yang kuat telah menyebabkan kapal bergerak sehingga menarik pontun lalu melanggar kapal-kapal lain di situ seperti domino,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Patrick berkata, empat kapal layar dan bot persiaran miliknya turut mengalami kerosakan akibat hentaman angin dan ombak namun kerosakan pontun menyumbang kepada jumlah kerugian besar.

Katanya, pasukan operasinya berada di lokasi sepanjang malam bagi menyelamatkan kapal-kapal ditolak angin, namun kebanyakan pontun gagal bertahan kerana angin dan hujan lebat yang berterusan sehingga pukul 6 pagi.

Dia yang telah beroperasi lebih 15 tahun di marina itu berkata, kejadian terbabit merupakan insiden angin paling kuat pernah berlaku di kawasan berkenaan.

“Keadaan angin sekuat itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan insiden tersebut amat mengejutkan kesemua pemilik kapal di marina,” katanya.

Sehubungan itu, Patrick berharap agar kerajaan negeri dapat membantu dalam pembinaan semula pontun yang rosak kerana kos penggantiannya dianggarkan sangat tinggi.

Tambahnya, kerosakan tersebut bukan sahaja menjejaskan operasinya tetapi turut memberi kesan langsung kepada aktiviti bot persiaran dan kapal layar yang menjadi antara tarikan pelancongan utama di daerah ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN