BINTULU: Perjumpaan kaum wanita bersama pihak Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dikejutkan dengan kebakaran yang memusnahkan Rumah Panjang (Rh) James Kalip di Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak –Kuala Tatau ranap terbakar, hari ini.
Tuai Rumah James Kalip berkata api dipercayai bermula dari sebuah bilik di bahagian tengah rumah panjang yang mempunyai 20 pintu itu.
“Kejadian ini disedari oleh kaum wanita yang ketika itu sedang menghadiri perjumpaan bersama pihak AIM,” katanya yang ditemu-bual.
Sementara itu, kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 11.41 pagi itu telah mengakibatkan kira-kira seramai 120 orang penduduk tinggal sehelai sepinggang.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan BBP Bintulu segera dikerahkan ke lokasi yang terletak sejauh 29 kilometer dari balai.
“Setiba di lokasi, didapati rumah panjang tersebut telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan air terbuka berhampiran termasuk parit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah beberapa kenderaan juga musnah terbakar.
Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN










