KUALA LUMPUR: Pembeli unit kediaman Residensi Hektar Gombak bakal menarik nafas lega apabila dijangka menerima kunci rumah idaman mereka seawal separuh pertama 2027.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pemaju projek perumahan mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) itu sudah menerima bantuan kewangan berjumlah RM125 juta.
“Kita menyasarkan Residensi Hektar Gombak menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) seawal suku pertama 2027 dan pembeli menerima Sijil Notis Milikan Kosong (VP) pada suku kedua tahun sama,” katanya pada sidang media mengenai Task Force Projek Perumahan dan Kerajaan Tempatan (TFST) di sini, hari ini.
Pada 30 Julai lalu, Residensi Hektar Gombak yang dimulakan pada 2018 dan sepatutnya siap pada 2022 dilaporkan proses pembangunan berjaya diteruskan selepas menerima suntikan dana baharu.
Projek tersebut merupakan antara projek terbengkalai paling besar kerana menghadapi pelbagai masalah lalu menyebabkan 2,400 pembeli terpaksa menanti lama.
Kor Ming dilaporkan berkata, pemaju perumahan yang diberi tanggungjawab perlu menyiapkan Projek Residensi Hektar Gombak untuk menyerahkan kunci kepada pembeli pada 2027 dan berisiko disenaraihitamkan sekiranya gagal. – UTUSAN










