“Jangan jadi artis kalau lemah semangat.”
Pesanan itu antara yang dititipkan artis-artis lama, yang luas pengalaman mereka. Benarlah apa yang dikatakan itu. Bergelar artis ini bukan berbekalkan bakat dan kesungguhan semata-mata, malah semangat dan kekuatan. Kerana dunia seni ini juga ada bahagian gelapnya.
Penyanyi yang bakatnya tidak perlu lagi dipertikaikan, Azharina Azhar, berpegang kepada peribahasa ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.’ Lebih 23 tahun berkelana dalam dunia seni, penyanyi yang mesra disapa sebagai nyonya ini sebati dengan lumrah ‘pentas hiburan’.
Sepanjang tempoh lebih dua dekad itu, pelbagai cabaran yang dilalui, jatuh dan bangun penyanyi bersuara serak-serak basah ini tak semua diceritakannya di dada akhbar mahupun media sosial.
Malah penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu ini mengambil pendekatan reda dan berserah apabila dilemparkan dengan pelbagai tuduhan. Dilabel sombong, berlagak kaya, ‘kaki’ bomoh, pencipta propaganda dan bermacam-macam lagi.
Namun, pengalaman benar-benar mendewasakan, Azharina matang dan pandangannya menjadi lebih ‘tajam’ dalam mengenal hitam putih hati manusia.
“Sepanjang menjadi penyanyi, saya berdepan pelbagai jenis manusia, ada yang ‘sailang’ tawaran menyanyi, yang menikam dan mengata belakang, yang berpura-pura baik, yang minta simpati, yang berhutang dan bermacam-macam lagi. Kalau saya senaraikan, terlalu ramai. Dan yang menikam itu, kawan satu industri pun ada.
“Tapi beginilah. Peniaga nasi lemak tepi jalan pun berdepan bermacam-macam jenis pengkhianatan orang, inikan pula golongan artis dan selebriti. Setiap artis akan lalui pengalaman yang sama, dan pastinya, akan jumpa kawan yang ‘makan’ kawan ini.
“Satu sahaja, niat saya mencari rezeki dalam dunia hiburan ini, ikhlas. Buatlah apa pun di belakang saya. Tikamlah saya, khianat, jatuhkan saya, teruskan. Saya ada Allah. kalau disailang, saya anggap sahaja bukan rezeki,” luahnya.
Kata penyanyi lagu Elegi Sepi ini, tiada cara lain, melainkan mencari ketenangan, berserah dan berlapang dada apabila cuba dikhianati dan dijatuhkan. Dan katanya, berhati-hatilah berkawan kerana tidak semua
berniat baik, ramai yang cuba menjatuhkan.
“Begini, rezeki walau sikit kita dapat, asalkan halal, menjadi berkat. Anda akan nampak keberkatan itu, mampu beli rumah, tanah dan sebagainya. Kemudian saya perhatikan, orang-orang yang mengkhianat, menjatuhkan saya ini, hidup mereka tiada keberkatan.
“Apa pun, pandai-pandailah mereka jawab kepada Tuhan atas perbuatan mereka. Kalau saya jumpa, saya salam mereka. Saya mahu ucapkan terima kasih atas kejahatan mereka, rezeki saya tak pernah putus,” kongsinya.

BIJAK MERENCANA MASA DEPAN
Masih ada yang berpandangan profesion sebagai penyanyi dan pelakon ini tidak menjamin masa hadapan. Mungkin bagi yang masih berfikiran sedemikan, sudah masanya untuk mereka membuka minda.
Azharina ialah contoh penyanyi yang bijak merencana masa hadapan. Pendapatan menyanyi yang diperoleh sejak 20 tahun lalu dimanfaatkan sebaiknya untuk kesenangan di kemudian hari.
“Bercakap tentang 20 tahun lalu, saya dibayar puluhan ribu untuk membuat persembahan, Dalam sebulan pernah mencecah RM100,000. Sebahagian hasil pendapatan menyanyi itu saya laburkan untuk membeli tanah, rumah teres dan pangsapuri, pejabat yang dilelong untuk disewakan. Itu adalah pendapatan tetap saya sekarang dan jaminan hari tua.
“Alhamdulillah, kesenangan yang saya miliki hari ini hasil titik peluh saya bekerja dan menguruskan dengan sebaiknya pendapatan saya. Saya kena beringat, bukan selamanya saya menyanyi. Jadi, saya kena bersiap sedia.
“Semua yang saya kecapi hari ini atas usaha sendiri. 17 tahun saya hidup tanpa suami, tidak pernah mengharap pun pada lelaki untuk menanggung saya. Alhamdulillah, banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada saya. Bukan mahu jadi kaya raya, tapi memadailah dengan kesenangan yang saya miliki sekarang,” kongsinya.
Azharina tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran atas segala hal baik yang berlaku dalam hidupnya sekarang ini. Katanya, tinggal lagi yang dikejarkan hanyalah kebahagiaan hakiki.
“Pada usia 40 tahun ini apa lagi yang saya kejarkan? Berapa banyak rumah lagi yang saya mahukan? Berapa banyak lagi harta yang saya mahu kumpul dalam dunia ini? Kurniaan Tuhan kepada saya lebih daripada cukup.
“Bukan mahu menyombong, tetapi harus saya katakan saya bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang ini. Rumah, kereta, perniagaan dan sebagainya. Sekarang saya hanya mahu hidup tenang dan bahagia sahaja,” katanya.

HADIAH UNTUK SABAH, MALAYSIA
“Ini hasrat yang sudah lama saya pendam.”
Demikian respons Azharina tentang lagu Gunung Kinabalu yang dirakamkan semula dengan penyanyi yang juga saudaranya, Daniesh Suffian.
Azharina menganggap peluang merakamkan semula lagu ciptaan datuk kepada Daniesh, Datuk M.Y Ismail itu sebagai satu penghormatan yang cukup besar.
“Lagu ini merupakan legasi yang ditinggalkan keluarga. Dulu Gunung Kinabalu ini, yang dicipta dalam irama keroncong, dinyanyikan ibu Daniesh dan sering berkumandang pada corong radio di Sabah.
“Sekarang kami rakamkan semula dalam genre City Pop untuk disesuaikan dengan cita rasa pendengar masa kini.
“Saya terbitkan semula lagu ini, hasilkan klip videonya dengan duit sendiri. Ia adalah hadiah buat peminat saya, masyarakat Sabah dan Malaysia.
“Sebelum ini muncul pihak yang menawarkan saya untuk menyanyikan lagu parti politik sempena Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang, tapi saya tolak secara baik. Kalau buat sesuatu, saya mahu lakukan dengan kejujuran dari hati.
“Berbeza dengan lagu Gunung Kinabalu, sebuah lagu rakyat yang menjadi lambang kemegahan Malaysia.
“Saya tidak kisah guna wang sendiri untuk rakam semula lagu ini. Sekurang-kurangnya dengannya, saya mengangkat lagu rakyat yang menceritakan mengenai kelebihan negara kita,” kongsinya.










