Pulau Pinang: Polis tumpaskan sindiket proses heroin, tahan dua suspek

Pulau Pinang: Polis tumpaskan sindiket proses heroin, tahan dua suspek

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan satu sindiket memproses heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000 dalam dua serbuan berasingan bermula Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kediaman di Bukit Mertajam, seorang lelaki berusia 40 tahun yang berperanan sebagai ‘ahli kimia’ bagi sindiket itu telah ditahan.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan di kediaman itu kemudian menjumpai sejumlah heroin dan heroin base yang dianggarkan seberat 5,385 gram, 20 kilogram (kg) serbuk kafein, bahan kimia serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

“Susulan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek tersebut, polis seterusnya melakukan serbuan kedua di Kulim, Kedah dan menahan seorang lagi lelaki dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ selain menjumpai kira-kira 250 gram dadah jenis methampethamine dalam sebuah kenderaan dipercayai milik suspek.

“Keseluruhan dadah yang dirampas itu mampu digunakan sebanyak lebih 40,000 kali oleh penagih, sekali gus memberi impak besar terhadap rantaian bekalan dadah ke pasaran,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Azizee, selain merampas dadah, polis turut menyita sebuah motosikal Honda Vario bernilai RM9,800 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM130,400.

Dalam pada itu, Azizee berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin, amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 28 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 kali sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN