PTJSD kurangkan kesesakan, pendekkan masa perjalanan

PTJSD kurangkan kesesakan, pendekkan masa perjalanan

ANWAR Ibrahim (kiri) diberi penerangan mengenai projek penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua atau PTJSD ketika majlis pecah tanah projek itu di tapak ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang, Sabtu lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Projek penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua atau PTJSD merupakan Projek Infra Rakyat Berimpak Tinggi yang mampu mengurangkan kesesakan trafik sehingga 30 peratus apabila ia siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2030 nanti.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan adanya PTJSD, tahap keselamatan dan keselesaan perjalanan dapat ditingkatkan manakala masa perjalanan pula dapat dipendekkan daripada satu jam kepada 20 minit semasa waktu puncak.

“Projek ini adalah inisiatif penting Kerajaan MADANI sebagai usaha menyeluruh untuk mengurangkan kesesakan, mempertingkatkan kecekapan laluan dan paling utama ialah untuk memudahkan kehidupan rakyat.

“Pelaksanaan projek ini telah diamanahkan kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai pelaksana utama di mana Kementerian Kerja Raya (KKR) dan PLUS akan menggunakan kaedah ‘Build-Operate-Transfer’ (Bina-Kendali-Pindah).

“Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan pelaksanaan (projek), malah, ia membantu mengurangkan beban kewangan kepada Kerajaan Persekutuan kerana kita berkongsi tanggungjawab antara sektor awam dan swasta demi membangunkan infrastruktur negara secara mampan dan berdaya saing,” katanya.

Terdahulu, majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tapak ekspo Seberang Jaya di sini, Sabtu lalu.

ANWAR Ibrahim (kanan) bersama Alexander Nanta Linggi (tengah) pada majlis pecah tanah projek penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua atau PTJSD di tapak ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang, Sabtu lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta beberapa kenamaan lain.

Secara umumnya, projek PTJSD bertujuan mengasingkan pergerakan trafik tempatan dan trafik laluan terus sekali gus akan meminimakan konflik penyatuan laluan (merging conflicts) yang sering menjadi punca utama kepada permasalahan trafik di kawasan tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 kenderaan yang melalui jajaran tersebut setiap hari.

Selain mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang khususnya di sekitar Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai, projek itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat setempat.

Dalam pada itu, Alexander berkata, dari segi teknikalnya pula, projek tersebut terbahagi kepada beberapa komponen pembinaan utama termasuk pembinaan laluan terus dari Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua serta penaiktarafan Persimpangan Juru Utara (Auto City) dengan menyediakan pusingan U bertingkat.

ALEXANDER NANTA LINGGI

“Komponen lain di bawah projek ini ialah pembinaan jalan susur baharu dari Perai ke Juru, penaiktarafan Persimpangan Timur-Barat untuk mengurangkan masa menunggu lampu isyarat dan pembinaan jalan susur bertingkat baharu di Jalan Tun Hussein Onn.

“Keseluruhan projek ini dianggarkan berjumlah RM3 bilion dengan pembiayaan secara hibrid iaitu 60 peratus daripada kerajaan melalui perbelanjaan pembangunan dan 40 peratus lagi daripada syarikat swasta dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan,” katanya.

Tambah beliau, projek itu juga adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk menyediakan infrastruktur bertaraf dunia demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, ia bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi sebagai simbol kemajuan, keprihatinan dan kesungguhan kerajaan dalam membina masa depan negara yang lebih sejahtera.

Justeru, beliau berkata, kerajaan berharap agar rakyat terus menyokong inisiatif pembangunan seperti ini kerana manfaatnya akan dinikmati oleh semua generasi hari ini dan untuk masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN