BUKIT MERTAJAM : Projek menaiktaraf serta melebarkan Jalan Tok Kangar di Seberang Perai Tengah (SPT) di sini yang bermula sejak 15 April lalu kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 29 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek di bawah Fasa 2 itu melibatkan kerja pelebaran jalan daripada satu lorong kepada dua lorong iaitu dari Jalan Perusahaan hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Kangar.
“Kerajaan negeri komited memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual iaitu pada 14 Oktober 2026. Setakat ini, kemajuan kerja berada pada tahap yang memuaskan serta melebihi jadual asal,” katanya selepas meninjau perkembangan terkini projek berkenaan di sini, hari ini.
Tambah Zairil, antara aktiviti utama yang sedang dijalankan di tapak ketika ini termasuk kerja pembuangan pasir dan pembinaan ‘piling’ platform bagi Jambatan 3, pemasangan kerb jalan, fabrikasi tetulang ‘micropile’ bagi Jambatan 2, serta kerja tampalan, pemasangan lampu jalan dan platform laluan pejalan kaki.
Projek Jalan Tok Kangar sebelum ini menjadi tumpuan kerana ia tertangguh untuk tempoh yang lama iaitu sehingga lapan tahun akibat beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan sehingga menyebabkan berlakunya masalah kesesakan luar biasa di laluan tersebut terutamanya ketika waktu puncak.-UTUSAN










