Projek Felda Laut yang dibatal wajar diteruskan

Projek Felda Laut yang dibatal wajar diteruskan

MAT YASSIN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Projek Akuapolitan atau Felda Laut yang dibatalkan pada 2019 wajar dikaji untuk diteruskan semula sebagai salah satu langkah bersepadu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat nelayan.

Projek bernilai RM180 juta itu dirasmikan pada 2016 dengan Kampung Seberang Pak Abu, Kuala Nerus, dekat sini dipilih sebagai lokasi perintis di Terengganu namun dibatalkan tiga tahun kemudian selepas berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassin Mohamed berkata, konsep projek itu boleh diteruskan pada hadapan jika kerajaan mempunyai bajet atau peruntukan untuk memajukan industri perikanan negara.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan dilihat mampu menaik taraf industri perikanan dan keterjaminan bekalan ikan negara daripada bergantung kepada bahan import.

“Ia juga dapat memberi latihan kepada nelayan tempatan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Cadangan asal projek itu melibatkan gabungan elemen-elemen penting dalam menghasilkan program perikanan yang holistik, menyeluruh dan mampan untuk masyarakat nelayan.

Ia memiliki ciri-ciri seperti skim Felda, tetapi khusus untuk masyarakat nelayan. Konsep projek yang pertama seumpamanya di dunia berkonsepkan Felda Laut itu bertujuan mewujudkan sebuah ekosistem perikanan bersepadu dan mampan termasuk pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran. 

Mat Yassin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan berkata, jika mahu menghidupkan semula projek berkenaan, ia tidak semestinya dilaksanakan di negeri ini tetapi banyak kawasan di Malaysia yang berpotensi dimajukan dengan konsep Felda Laut itu.

“Ia boleh dibangunkan di mana-mana negeri yang difikirkan sesuai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN