PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan sebanyak 1,045 unit bas elektrik (EV) akan beroperasi di seluruh negara menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada usaha menyokong agenda kelestarian dan pengurangan pelepasan karbon negara.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad berkata, pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Risiko Prasarana yang dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menjadi sebahagian langkah awal memastikan keselamatan operasi kenderaan berasaskan teknologi baharu itu.
Katanya, kempen yang akan berlangsung selama enam bulan itu turut memberi tumpuan kepada latihan kesedaran dan kompetensi kakitangan bagi menghadapi sebarang risiko kebakaran atau kemalangan melibatkan bas EV.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian persediaan kami di Prasarana bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi kenderaan elektrik tersebut.
“Kita tidak akan memulakan operasi bas EV sekiranya tidak bersedia sepenuhnya. Latihan dan kefahaman asas tentang sistem serta langkah keselamatan akan diberikan kepada semua kakitangan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Risiko Prasarana di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Nasir, ketika ini, 15 unit bas EV sudah beroperasi di laluan Bas Rapid Transit (BRT) Sunway sejak 2015 dan pihaknya sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan 150 unit baharu menjelang tahun depan sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.
Beliau berkata, kerjasama erat dengan JBPM amat penting bagi memastikan pasukan dalaman Prasarana dilatih untuk menangani sebarang insiden awal sebelum bantuan pihak bomba tiba di lokasi.
“Kita akan melatih kakitangan Prasarana terlebih dahulu, termasuk pemandu dan kru operasi, supaya memahami langkah asas menangani kecemasan yang melibatkan bas EV,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Prasarana itu yang sejajar dengan pelan strategik jabatan dalam pengurusan kebakaran dan penyelamatan berkaitan kenderaan elektrik.
Beliau menjelaskan, JBPM kini memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan di stesen pengecas dan depot bas EV, selain memastikan keupayaan anggota mengenal pasti risiko kebakaran serta tindakan awal yang perlu diambil.
“Apabila berlaku insiden, keutamaan bukan semata-mata memadam api pada unit terbakar, tetapi memastikan keselamatan penumpang dan mengelakkan api merebak kepada unit lain.
“Latihan yang dijalankan bersama Prasarana ini akan menilai keupayaan pasukan di depot untuk menilai sama ada selamat melakukan tindakan awal mengeluarkan unit yang belum terbakar,” katanya.
Nor Hisham turut memaklumkan bahawa JBPM telah memperkukuh kesiapsiagaan melalui perolehan 318 unit selimut kebakaran tahun ini serta menerima sumbangan 30 unit tambahan daripada pihak industri untuk digunakan di kawasan tumpuan utama.
“Selimut berkenaan berfungsi sebagai langkah awal mengawal kebakaran sebelum anggota tiba di lokasi, seterusnya mengurangkan risiko ‘thermal runaway’ yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
“Selain itu, JBPM juga telah melatih 970 pegawai dalam kursus khas berkaitan pemadaman kebakaran dan pengendalian kemalangan melibatkan kenderaan EV di akademi jabatan,” katanya.
Tambah beliau, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah memastikan anggota operasi mengenal pasti kenderaan EV di lokasi kemalangan kerana risiko elektrik masih wujud walaupun enjin kelihatan tidak berfungsi.
“Ada insiden di luar negara di mana kenderaan EV yang disangka sudah dimatikan tiba-tiba bergerak semula. Jadi, kita tekankan kepada semua anggota supaya mengenal pasti terlebih dahulu jenis kenderaan sebelum menjalankan operasi menyelamat,” katanya. – UTUSAN










