PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat berhubung penahanan lelaki warga Malaysia oleh pihak berkuasa Thailand selepas disyaki menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menipu dan memperoleh wang tunai melebihi RM426,000 atau 3.3 juta baht.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya sedia berkongsi maklumat bagi siasatan lanjut dijalankan.
“Belum dapat maklum balas mengenai perkara ini,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, suspek berusia 26 tahun itu ditahan di daerah Don Mueang, Thailand berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Thonburi pada 7 November atas kesalahan penipuan dengan menyamar sebagai individu lain.
Suspek yang dikenali sebagai Tan dari Sabah itu ditahan Jumaat lalu di sebuah hotel di Soi Saranakhom 3, Don Mueang.
Pihak berkuasa Thailand turut merampas pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian, sebuah beg galas hitam, dua telefon bimbit, satu sampul kad SIM AIS kosong, empat kad SIM Singapura yang belum digunakan, satu kad SIM kosong dan tiga kad debit asing.
Penahanan itu dibuat susulan laporan oleh seorang mangsa berusia 70 tahun yang mendakwa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai polis dari Balai Polis Mueang Khon Kaen.
Individu terbabit mendakwa akaun bank mangsa terpalit dalam kegiatan keldai akaun dan pengubahan wang haram.
Suspek kemudian menghantar mesej, dokumen palsu serta membuat panggilan video bagi membincangkan aset mangsa sebelum mengarahkan mangsa menyediakan wang dan barangan berharga untuk pemeriksaan.
Mangsa yang terpedaya, bertindak mengeluarkan wang tunai, menjual barangan peribadi dan menyerahkan sejumlah 3.3 juta baht kepada suspek.
Katanya, penyiasat dari Don Mueang kini bekerjasama dengan polis Thung Khru bagi memperluas siasatan dan menjejaki anggota lain sindiket penipuan itu.-UTUSAN










