Polis tumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin

BAKRI Zainal Abidin (dua dari kanan) melihat mesin perlombongan bitcoin yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Hilir Perak di Teluk Intan. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sindiket perlombongan mata wang digital (bitcoin) yang menjadikan beberapa rumah sewa di kawasan perumahan di sini sebagai pusat operasi tumpas selepas diserbu polis menerusi operasi bermula 5 hingga 11 November lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, dalam operasi itu, lapan lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 44 ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, tangkapan itu turut membawa kepada rampasan lebih 220 unit mesin perlombongan bitcoin, pelbagai peralatan sokongan termasuk dua kenderaan, modem, TP-Link dan aksesori komputer yang digunakan dalam aktiviti perlombongan tersebut.

“Serbuan dijalankan ke atas 16 unit kediaman hasil maklumat awam yang bimbang dengan penggunaan elektrik luar biasa dan risiko kebakaran di kawasan perumahan mereka.

“Hasil pemeriksaan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan wujud penyambungan elektrik haram di semua lokasi terlibat bagi menjimatkan kos operasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, setiap satu mesin yang beroperasi menggunakan tenaga elektrik bersamaan 2.5 hp (kuasa kuda) dengan kos kira-kira RM10,000 sebulan.

Katanya, penggunaan yang tinggi ini bukan sahaja menyebabkan kerugian besar, malah mengakibatkan beberapa kebakaran di sekitar premis terlibat.

“Berdasarkan siasatan, selain menyewa rumah penduduk tempatan, sindiket berkenaan juga menceroboh rumah kosong untuk dijadikan pusat operasi.

“Ada rumah disewa tanpa pengetahuan pemilik bahawa ia akan dijadikan sebagai pusat operasi untuk perlombongan bitcoin dan ada juga dalam pengetahuan pemilik namun bersetuju selepas ditawarkan kadar sewa yang tinggi,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek telah direman selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik tanpa kebenaran.

“Polis akan meneruskan pemantauan dan tindakan bagi memastikan Hilir Perak bebas daripada kegiatan perlombongan haram yang menjejaskan keselamatan penduduk dan sistem elektrik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN