Pinjaman kereta mewah ADUN tiada untung untuk rakyat - UMNO Terengganu

Pinjaman kereta mewah ADUN tiada untung untuk rakyat – UMNO Terengganu

NIK DIR NIK WANKU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan Negeri Terengganu mendesak kerajaan negeri menyemak semula keputusan meningkatkan jumlah pinjaman kenderaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu kepada maksimum RM200,000 dengan menggunakan dana tersebut untuk kepentingan rakyat.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Nik Dir Nik Wanku berkata, kerajaan negeri harus kembali kepada prinsip keutamaan rakyat dan bukan mendahulukan keselesaan kepemimpinan.

“Dana tersebut mampu memberi fokus kepada pembangunan komuniti, peluang ekonomi untuk anak muda  dan projek-projek asas yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan yang memetik Kertas DUN bertarikh 29 Oktober 2025 memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk meluluskan pinjaman kenderaan maksimum RM200,000 kepada Menteri Besar, Yang Dipertua DUN, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN bagi tempoh empat tahun. 

Kenyataan itu turut menyebut bahawa keputusan MMKN terdahulu pada 11 Julai 1990 dan 5 Mac 1997 dibatalkan berkuat kuasa dengan pelaksanaan enakmen baharu tersebut.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, cadangan itu belum muktamad yang hanya dibuat selepas enakmen berkenaan dibentangkan dan diluluskan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Nik Dir mempersoal  kewajaran keputusan itu yang dibuat ketika penduduk memerlukan bantuan dan sokongan daripada wakil rakyat dan kepemimpinan negeri dalam mengurus serta meringankan beban kehidupan mereka.

“Mengapa perlu kerajaan negeri menyediakan pinjaman rasmi kepada ADUN dan Exco untuk membeli kereta baharu? 

“Bukankah mereka ini golongan berpendapatan tinggi, selain dibayar gaji bulanan atau hanya hidup mewah yang lupa tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×