TUMPAT: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan di dua buah pangkalan haram iaitu MCA dan Gergaji di Sungai Golok, Rantau Panjang di sini yang dirobohkan Selasa lalu bagi memastikan aktiviti jenayah sempadan tidak berulang.
Pemangku Briged Tenggara, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, hasil pemantauan oleh anggota bertugas mendapati kedua-dua lokasi itu dilihat sudah tidak aktif.
“Bagaimanapun, pemantauan berterusan dilakukan termasuk di sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan pemisah antara Malaysia-Thailand di negeri ini.
“Ia bagi memastikan aktiviti jenayah sempadan berjaya dikekang dengan sebaik mungkin,” katanya pada majlis serah terima tugas di Markas Kompeni Taktikal (Martek) PGA di Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Ijid bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian berhubung perkara tersebut.
Katanya, kerja-kerja perobohan lokasi pangkalan haram lain yang disenaraikan itu dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Setakat ini PGA tidak menerima sebarang provokasi atau tanda-tanda protes sepanjang kerja-kerja perobohan itu dilakukan,” ujarnya.
Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini, yang menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa selama dua bulan. – UTUSAN










