BUTTERWORTH: Seorang pesara guru, Zurhan Bakar, 64, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang Ke-2 Tahun 2025 dalam satu majlis khas di sini, malam tadi.
Selaku pemenang, beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM15,000 serta sijil pengiktirafan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.
Pada majlis yang sama, ahli akademik, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, 79, turut dipilih sebagai penerima Anugerah Persuratan Negeri Pulau Pinang manakala penulis muda, Muhammad Afif Zulhusni Azhar, 27, pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang.
Zurhan yang menggunakan nama Zurhan Bakar sebagai nama penanya merupakan Setiausaha Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) dan kini berkhidmat selaku penulis sepenuh masa.
Berkecimpung dalam dunia penulisan sejak lebih 40 tahun lalu, antara karya beliau utama beliau ialah Kumpulan Cerpen Remaja Senja Seorang Patriot serta Novel Remaja Bahasa Inggeris berjudul ‘Misadventures of a Computer Geekyang’ yang kedua-duanya diterbitkan oleh Oxford Fajar pada 2014.
Karya lain yang turut mendapat tempat ialah Kumpulan Cerita Kanak-Kanak: Kenapa Enggang Sembunyi? (Buku Prima, 2015); Novel Kanak-Kanak Kami Regu Malaysia? (ITBM, 2020) serta Kumpulan Cerpen Perjalanan Pulang (SYFE Management, 2021).
Zulkifli ketika berucap sempena majlis itu berkata, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi bahasa maruah dan kedaulatan negara.
“Penganjuran ini menjadi bukti komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan bahasa dan sastera Melayu sebagai wahana ilmu, jiwa bangsa, dan lambang perpaduan rakyat,” katanya.-UTUSAN










