Pernah lima kali tukar pembantu, Elfira Loy kini seronok urus keluarga sendiri - Utusan Malaysia

Pernah lima kali tukar pembantu, Elfira Loy kini seronok urus keluarga sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy, menjelaskan bahawa hantaran tularnya di media sosial baru-baru ini sekadar bertujuan mengingatkan kaum ibu agar tidak membandingkan diri dengan sesiapa.

Menurut Elfira atau Nurul Elfira Ahmad Sabri, 31, beliau berasa kurang terbeban selepas bergaul dengan rakan-rakan yang turut bergelar ibu bagi mendapatkan sokongan emosi.

“Dulu saya rasa semuanya sangat susah dan terfikir sama ada perlu mengupah pembantu rumah atau meminta suami membantu sekali.

“Tapi selepas saya bergaul dengan kelompok suri rumah lain, barulah saya sedar bahawa dugaan menguruskan anak-anak itu sebenarnya normal. Sentiasa ada cara untuk menjadikan rutin ini lebih menyeronokkan.

“Memang tidak semua orang nampak jalan itu, tetapi insya-Allah, dengan tunjuk ajar dan nasihat rakan-rakan ibu lain, tugasan harian akan menjadi lebih mudah. Sokongan orang sekeliling sangat penting,” katanya.

Menyentuh mengenai petua kekal bertenaga setiap hari, Elfira menekankan keperluan seorang ibu untuk mempunyai masa bagi diri sendiri.

“Sebab itu saya tidak memberi 100 peratus fokus sebagai ibu sepanjang masa. Selepas hantar anak, saya perlukan masa untuk bertenang. Biasanya saya akan bermain pickleball seketika.

“Asalkan jadual disusun rapi, semua urusan menjadi lebih mudah,” ujarnya.

Elfira turut mengakui pernah beberapa kali berdepan masalah ketika mengupah pembantu rumah, namun sering berakhir dengan pengalaman kurang menyenangkan.

“Saya pernah tukar pembantu rumah sebanyak lima kali. Ada sahaja yang tidak kena.

“Apabila saya serahkan tugas kepada pembantu rumah kerana perlu ke lokasi penggambaran, ada yang tidak mahu meneruskan kerja. Bagaimana dengan jadual yang sudah saya ‘lock’?” katanya.

Oleh itu, Elfira mengambil keputusan untuk menguruskan anak sendirian sehingga kini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN