PETALING JAYA: Kurang 48 jam menjelang tarikh penamaan calon Sabtu ini, semua parti politik giat menamakan calon masing-masing bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagai persiapan penting membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Seramai 327 calon ditampilkan parti-parti politik membabitkan Perikatan Nasional (PN) seramai 42 calon, Barisan Nasional (BN) seramai 45, Parti Impian Sabah (PIS) seramai 73 calon, Parti Warisan Sabah (Warisan) seramai 73 calon, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seramai 55 calon dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) seramai 40 calon.
BN mengumumkan akan bertanding di 41 kerusi DUN sebelum menambah empat lagi calon menjadikan keseluruhan 45 kerusi untuk direbut.
Taruhan diletakkan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), selain dua calon baharu bergelar doktor perubatan, iaitu calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr. Elmiariezan Ardan dan Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin di DUN Sulaman.
Selain itu, turut diumumkan nama bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Rahman Dahlan; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Pakatan Harapan (PH) pula mengumumkan akan bertanding di 23 kerusi DUN dengan pecahan komposisi PKR 10, DAP tujuh, Amanah satu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) lima.
Dalam pengumuman calon PKR yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR membuat kejutan apabila menamakan anak lelaki Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman iaitu Datuk Yamani Hafez Musa sebagai calon di Sindumin.
PKR turut menamakan dua bekas ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew, masing-masing dinamakan sebagai calon kerusi DUN Melalap dan Karamunting.
SAPP meletakkan enam calon terdiri daripada dua Timbalan Presidennya iaitu Datuk Edward Dagul dan Datuk Japiril Suhaimi di DUN Limbahau dan Kundang tanpa meletakkan Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee.
GRS mengumumkan gabungan parti itu akan bertanding 55 kerusi dengan Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, disahkan bertanding di Sulaman, kerusi yang disandangnya selama enam penggal.
Beliau yang juga Presiden Gagasan itu turut mengumumkan pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam akan mempertahankan kerusi Kundasang.
Presiden Parti Cinta Sabah, Tan Sri Anifah Aman pula akan bertanding kerusi Bongawan, manakala Presiden United Sabah Nasional Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin kerusi Pintasan.
Bekas wakil rakyat Parti STAR, Datuk Ellron Angin, Datuk Flovia Ng, Datuk Annuar Ayub dan Datuk Abidin Madingkir bertanding di Sook, Tulid, Liawan dan Paginatan itu bertanding atas tiket GRS.
Parti Impian Sabah (PIS) yakin dapat mengambil alih kerajaan negeri jika berjaya menang sekurang-kurangnya 43 daripada 73 DUN.
Presidennya, Michel Alok, berkata semua calon yang ditampilkan PIS, hanya lapan peratus terdiri calon belia berusia bawah 40 tahun, manakala wanita juga hanya lapan peratus.
Katanya pengundi muda akan memberi peluang kepada PIS kerana parti ini masih segar dengan pemimpin baru, jiwa baru.
PIS muncul parti pertama di Sabah menamakan 73 calon untuk bertanding pada PRN Sabah Ke-17, sekali gus menutup spekulasi berhubung senarai akhir calon parti itu.
Mengambil pendekatan sama, Parti Warisan juga akan mengumumkan nama-nama calonnya ada esok namun mereka dijangka bertanding kesemua 73 kerusi DUN Sabah secara solo.
Satu lagi gabungan yang juga akan memberi saingan dalam merebut kerusi di DUN Sabah adalah Perikatan Nasional (PN) membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.
PN menampilkan 90 peratus muka baharu dalam PRN kali ini, sekali gus mencerminkan usaha untuk membawa pembaharuan dan tenaga baharu dalam arena politik negeri.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keperluan untuk membawa perubahan lebih besar kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah adalah sangat penting.
PN akan bertanding di 41 kerusi DUN dengan menampilkan 90 peratus muka baharu dan lima calon wanita.
“Kita mahu situasi dan keadaan di Sabah ini mesti berubah. Lebih berubah daripada biasa.
Walaupun sudah melalui 17 kali pilihan raya, masih banyak perkara yang perlu dilakukan supaya Sabah menjadi salah sebuah negeri termaju di Malaysia,” katanya.
Seramai 33 calon itu mewakili Bersatu) lima daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan tiga lagi mewakili Gerakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon untuk PRN Sabah pada 15 November, tarikh pengundian awal pada 25 November manakala hari pengundian 29 November.
Pilihan raya kali ini turut menyaksikan 17 calon Bebas dinamakan Gelombang Hitam mencuba nasib di kerusi yang diyakini mampu dimenangi. – UTUSAN










