Penjual air soya wakafkan RM60,000 atas nama arwah isteri

Penjual air soya wakafkan RM60,000 atas nama arwah isteri

RAZALI Zamzam (kiri) bersama pegawai MAINS Cawangan Kuala Pilah selepas menyerahkan wakaf sebanyak RM60,380 atas nama arwah isterinya semalam.-GAMBAR/IHSAN MAINS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: “Kasih sayang isteri saya lebih bernilai daripada emas”. Itulah luahan Razali Zamzam, 63, yang mewakafkan sebanyak RM60,380 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atas nama isterinya yang meninggal dunia pada 29 Oktober lalu.

Dia berkata sumbangan wakaf tersebut merupakan hasil penjualan emas milik arwah isterinya serta wang simpanan.

Razali yang merupakan peniaga air soya dan taufufa berkata, isterinya, Rohaya Abu Hassan,59, yang menghidap kanser rahim sempat berpesan agar dia mengambil emas dan wang simpanannya,

“Dia cakap ambillah emas ini, saya terima tetapi saya tidak akan guna duit itu. Saya akan infak semula, beri kepada masjid.

“Selepas isteri saya meninggal dunia, saya terus ke pejabat MAINS daerah Kuala Pilah semalam untuk menyerahkan wang simpanan dan duit penjualan emas isteri saya,” katanya ketika dihubungi.

Kata Razali, dia mendirikan rumah tangga pada tahun 1989 dan hidup bersama selama 36 tahun sebelum isterinya menghidap barah ovari yang kemudian merebak sehingga menjejaskan buah pinggang.

“Sejak awal perkahwinan arwah isteri sentiasa menemani saya berniaga, sentiasa setia di sisi sepanjang tempoh berumah tangga.

“Saya berniaga, dia pun ikut berniaga. Tetapi apabila dia sakit, saya jaga dia sampai akhir hayat. Lagi pun saya sudah tiada siapa-siapa selain anak buah yang saya jaga seperti anak saya sendiri. Adik-beradik yang lain pun sudah tua jadi buat apa saya simpan duit banyak,” katanya.

Sementara itu MAINS menerusi hantaran di akaun Facebook menzahirkan penghargaan atas kemurahan hati dan keikhlasan pewakaf berkenaan.

“Tindakan tersebut bukan sahaja mencerminkan keimanan yang mendalam dan kasih sayang yang tulus, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus beramal dan berbakti melalui instrumen wakaf.

MAINS sentiasa komited dalam menguruskan harta wakaf dengan telus dan berkesan agar manfaatnya dapat disalurkan kepada sektor-sektor pembangunan umat seperti pendidikan, sosiekonomi dan kesihatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN