Penjaja, peniaga kecil wira ekonomi rakyat  

Penjaja, peniaga kecil wira ekonomi rakyat  

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) mewakili Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penjaja Dan Peniaga Kecil Tahun 2025 di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Golongan penjaja dan peniaga kecil adalah wira ekonomi rakyat yang memacu kepada pertumbuhan domestik serta kestabilan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan terus memperkasa komuniti terbabit sebagai nadi utama ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan serta pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia Madani.

Kata beliau, sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) jelas membuktikan kekuatan sektor itu apabila menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu dan menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan.

“Mereka inilah yang setiap hari berada di barisan hadapan, dari pasar pagi hingga ke penjaja malam demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan.

“Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara,” katanya pada majlis perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Anwar berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus KDNK menjelang 2030, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

Menurut Perdana Menteri, langkah itu turut diperincikan menerusi Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 yang digubal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai panduan utama memperkukuh komuniti tersebut.

“Namun dasar yang komprehensif di atas kertas perlu disusuli dengan tindakan segera di lapangan agar manfaatnya dapat dirasai golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berperanan penting sebagai peneraju utama dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar diterjemahkan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil terus berkembang.

Katanya, antara inisiatif diberi tumpuan adalah Program Jajahan Rakyat oleh KUSKOP dengan kerjasama Bank Rakyat, yang memperluas akses digital dan mempercepatkan transformasi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN