Pengasas, kaunselor eHati dikenakan waran tangkap 

Pengasas, kaunselor eHati dikenakan waran tangkap 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua individu termasuk pengasas program motivasi rumah tangga eHati dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini apabila gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Perintah tersebut dikeluarkan terhadap Nur Diyanah Md. Tahir yang beralamat di Damansara, Petaling Jaya dan kaunselor, Zatul Asmah Mat Isa di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Hakim Syarie, Dr. Zainal Abidin Kusmin mengeluarkan perintah tersebut selepas permohonan dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Husaini Roslin.

Dalam prosiding tersebut, penjamin kepada Nur Diyanah memaklumkan beliau tidak mengetahui keberadaan kedua-dua wanita terbabit.

“Kami kenal sejak 2021 atas kawan. Saya jadi penjamin pun atas dasar kasihan. Keluarga mereka pun tidak menolong,” katanya.

Mahkamah kemudian turut mengarahkan carian melalui Jabatan Imigresen turut dilakukan terhadap pengasas program motivasi kontroversi itu.

Selain itu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam juga diberi kuasa menahan kaunselor itu yang juga merupakan pegawai di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara Semenanjung.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Mac depan.

Perintah tersebut menjadikan pengasas eHati berkenaan kini mempunyai dua waran tangkap dengan sebelum ini dikeluarkan Mahkamah Jenayah Shah Alam. 

Ia selepas wanita itu tidak hadir bagi pertuduhan yang sepatutnya dilaksanakan kepadanya pada 14 Oktober lalu bersama pasangan suami isteri yang merupakan doktor kesihatan dan kecantikan.

Pada 11 November lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan polis memburu dua individu termasuk pengasas eHati yang dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini pada 14 Oktober lalu.

Hasil semakan mendapati kedua-dua mereka melarikan diri menggunakan laluan sah sehari sebelum pertuduhan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN